CCTV pengecaman wajah bantu kesan penjenayah

Iklan
KK Chai (kanan) memberi penerangan kepada Mazlan ketika melawat pusat kawalan CCTV pengecaman wajah di KK Super Mart, Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur hari ini, selepas pelancaran. - FOTO ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Inisiatif pemasangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pengecaman wajah mampu membantu polis dalam mengekang perkembangan jenayah masa kini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata demikian selepas kedai serbaneka KK Super Mart menggandakan aspek keselamatan pelanggan dan pekerja dengan penggunaan CCTV.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam suasana masyarakat yang berpengetahuan masa kini, sebuah organisasi perlu dibekalkan dengan kepakaran supaya pengurusan krisis sentiasa relevan, cekap dan berkesan.

"Pemasangan CCTV apatah lagi sistem yang mempunyai pengecaman wajah pasti menelan kos yang tinggi dan usaha yang dilakukan premis serbaneka KK Super Mart itu bertujuan bagi memastikan pelanggan serta pekerja dalam keadaan selamat.

Iklan

"Inisiatif pemasangan CCTV yang mempunyai teknologi pengecaman wajah ini amat bertepatan dengan masanya.

"Saya percaya inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan siasatan polis sekiranya berlaku sebarang kes yang tidak diingini.

Iklan

"Selain itu, saya juga difahamkan, KK Super Mart mempunyai pasukan keselamatan sendiri iaitu 'Security Team and Response Team'. Dengan kekuatan 20 anggota, pasukan ini akan membuat rondaan ke cawangan yang berisiko serta berhadapan dengan pelanggan agresif," katanya dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran CCTV Pengecaman Wajah di KK Super Mart, Taman Desa Petaling, di sini hari ini.

Tambahnya, untuk rekod, statistik kes samun kedai serbaneka 24 jam di Kuala Lumpur pada tahun lalu adalah sebanyak 161 kes. Manakala tahun ini bagi tempoh Januari sehingga Julai sebanyak 44 kes dengan 56 tangkapan.

KK Chai memberi penerangan kepada Mazlan ketika melawat pusat kawalan CCTV pengecaman wajah di KK Super Mart, Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur hari ini, selepas pelancaran. - FOTO ROSLI TALIB

Katanya, polis sentiasa memerlukan sokongan padu daripada masyarakat untuk memastikan keselamatan dalam negara terjamin.

"Saya berharap agar perniagaan-perniagaan lain mencontohi KK Super Mart yang menitikkan keperluan menjaga kepentingan masyarakat khususnya berkaitan soal keselamatan.

"Saya tegaskan, kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan. Jenayah perlu dicegah dan keselamatan pelanggan serta pekerja adalah keutamaan dalam mana-mana premis perniagaan," katanya.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo; Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dan duta KK Super Mart, Shuib Sepahtu.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KK Group, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, KK Super Mart memperuntukkan RM800,000 untuk melengkapkan CCTV berteknologi itu di 100 outlet pertama.

Tambahnya, pemasangan ini dilakukan secara berperingkat di semua cawangannya seluruh Malaysia yang mana kebanyakan premis beroperasi di kawasan perumahan, bandar utama serta kawasan pelancongan.

"Seiring dengan kepekaan kami dalam isu keselamatan, kami ambil inisiatif ini untuk menjaga pelanggan dan pekerja," katanya.

Jelasnya lagi, kerja-kerja pemasangan CCTV berteknologi ini sudah bermula sejak dua bulan lalu dan kini 95 peratus telah lengkap bagi fasa pertama.

"Teknologi ini mampu menghasilkan 90 hingga 95 peratus ketepatan gambaran pelanggan yang memasuki premis. Teknologi ini juga boleh mengenal pasti jantina, umur, emosi dan aliran trafik pelanggan dalam satu masa.

"Kelebihan teknologi ini dapat membantu polis memendekkan tempoh pencarian suspek jika berlakunya kes di cawangan kami.

"KK Super Mart sering bekerjasama dengan polis bagi memastikan keselesaan dan keyakinan pelanggan di tahap maksima. Dalam usaha bantu golongan kurang berkemampuan, KK Super Mart juga aktif menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat," katanya.

Untuk info, KK Super Mart ditubuhkan pada tahun 2001 dengan dan telah berkembang lebih 458 premis seluruh negara, bahkan di India dan Nepal.