Bendera Malaysia terbalik: Tiada lagi permohonan maaf selepas ini

Iklan
Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU - Tiada lagi amaran atau kompromi terhadap mana-mana pihak yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik selepas ini!

Itu amaran Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay terhadap mereka yang masih tidak tahu menghormati bendera negara sendiri.

Iklan
Iklan

"Isu pasang bendera Malaysia terbalik sudah banyak kali dibuat, negara kita sudah 63 tahun merdeka dan ini tidak sepatutnya berlaku.

"Selepas ini saya tidak lagi akan memberi amaran. Jika ada lagi kes ini saya akan arahkan pegawai penyiasat untuk buka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Iklan

"Tiada lagi permohonan maaf akan diberikan selepas ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, bendera Malaysia dipasang terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan di Kluang sebelum mendapat kritikan netizen.

Iklan

Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang membuat siasatan terhadap perbuatan berkenaan yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail dilaporkan berkata, pihaknya membuat siasatan sebaik sahaja dimaklumkan.

"Hasil siasatan di sekolah itu mendapati insiden berkenaan berikutan kakitangan swasta tersilap menaikkan bendera dan tidak disedari.

"Namun ia sudah dibetulkan selain nasihat sudah diberikan supaya pihak sekolah lebih berhati-hati selepas ini," kata Mohd Abduh.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, tindakan meletakkan kesalahan itu ke atas pihak lain adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

Tegas beliau, 'kesalahan' tersebut adalah kali terakhir dan selepas ini tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang tergamak berbuat demikian.