JOHOR BAHRU - Polis tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan permohonan lesen senjata api sebaliknya akan diselidiki terlebih dahulu keperluan, latar belakang individu atau syarikat.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, syarat ketat itu terutama kepada mereka yang memohon lesen memiliki senapang patah atau pistol.
"Bukan senang beri lesen khususnya dalam isu pemilikan senapang patah untuk jaga ladang kerana syaratnya ketat dan kita akan buat pemeriksaan sebelum boleh dimiliki.
"(Contohnya) jika ada asas tanaman dimusnahkan binatang liar, kita akan periksa betul-betul (jika benar-benar ada asas dan memerlukan) baru diluluskan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Semalam Sultan Johor murka terhadap aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan hutan di sekitar negeri berkenaan.
Menerusi perkongsian dalam laman Facebook rasminya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, kesemua pemburu itu juga dipercayai memiliki senjata berupa senapang patah buatan sendiri.
Baginda mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan dan juga jika senjata yang digunakan mempunyai lesen termasuk mahukan polis menjalankan audit mengenai pemilikan lesen senjata api di Johor termasuk individu, syarikat serta pemilikan perladangan.
Sementara itu, Ayob Khan berkata, polis Johor sudah membuat semakan permohonan banyak kali bukan sahaja senapang patah tetapi lesen memiliki pistol.
"Adakah keperluan mereka memiliki senjata api disebabkan duit banyak dalam akaun bank atau (kerana) ada syarikat. Adakah ini asas yang digunakan (untuk mohon lesen memiliki senjata api). Saya sedang semak perkara ini.
"Baru-baru ini saya batalkan empat permohonan untuk melanjutkan lesen pistol. Kita tidak mahu Malaysia ini satu hari nanti jadi macam koboi, semua orang ada pistol, semua orang ada 'shotgun'," katanya.
Ditanya mengenai jumlah pemilik dan lesen senjata api yang dikeluarkan di negeri ini, beliau berkata, perkara itu sedang disemak termasuk sekiranya ada.
Beliau berkata, ini termasuk mereka yang menyalahgunakannya untuk melakukan pemburuan haram.