SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy berkemungkinan akan disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan isu arah pinda laporan audit 1MDB oleh Jabatan Audit Negara.
Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya bagaimanapun akan terlebih dahulu akan mengambil keterangan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad pada 4 Disember, dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pada 5 Disember ini.
"Nama-nama lain yang disebut dalam kenyataan Madinah (berkenaan laporan akhir audit telah dipinda) akan diputuskan kemudian (untuk disiasat)," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Nama Jho Low diarah gugur dari laporan akhir 1MDB]
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh pula mengesahkan Najib dan Arul Kanda memang ada dalam senarai awal saksi siasatan PAC.
Hari ini, Madinah dalam satu kenyataan kepada media mendedahkan Najib, Arul Kanda dan beberapa individu lagi terlibat dalam dakwaan meminda dan menggugurkan bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB pada 2016.
Antara nama yang disebut Madinah adalah Ambrin, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Tan Sri Shukry Salleh.
Menurut Madinah, antara perkara yang dipinda adalah berkenaan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB serta penyata kewangan syarikat itu untuk 2014.