KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti strategi menerima kedatangan pelancong asing dari destinasi yang dikategorikan zon hijau koronavirus (Covid-19) sekiranya pintu masuk negara dibuka semula.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini berikutan pendekatan hanya menerima pelancong dari negara zon hijau sebelum ini dilihat tidak praktikal kerana ada negara terbabit dilanda gelombang baharu wabak itu.
Bagaimanapun katanya, kementerian masih meneliti strategi itu menerusi perbincangan dan kerjasama berterusan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar.
"Sekarang ini, kita melihat pada destinasi yang dikategorikan sebagai zon hijau, kita juga masih meneliti kaedah ini dan ia usaha berterusan kementerian.
"Bagaimanapun perkara ini (pelancongan antarabangsa) juga tertakluk pada negara tersebut sekiranya mereka membuka ruang (kemasukan pelancong) kepada kita," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung perancangan kementerian itu bagi menerima kemasukan pelancong asing dari negara zon hijau Covid-19.
Nancy berkata, kementerian berkenaan menawarkan beberapa program berkaitan pelancongan secara percuma bagi membantu penggiat industri itu yang terjejas akibat Covid-19.
Katanya, misalnya pemandu pelancong boleh mendapatkan lesen atau perbaharui lesen mereka secara percuma bermula Mei lepas hingga November ini menerusi sembilan program.
"Sebelum ini, mereka (pemandu pelancong) perlu membayar RM50 bagi satu program dan RM150 untuk sekurang-kurangnya tiga program setahun bagi mendapatkan lesen atau perbaharuinya.
"Kini kerajaan akan biayai program ini, mereka boleh sertai semua sembilan program secara percuma," katanya menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai bagaimana penggiat industri terlibat menerima manfaat program yang dianjurkan kementerian itu susulan impak Covid-19. - Bernama