Pasang CCTV kesan pelaku buang sisa kimia di sungai

Iklan
Veerapan (kanan) dan Azuri Azizah pada sidang akhbar di pejabatnya di Seremban hari ini.

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil langkah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik bagi mengesan individu yang membuang sisa bahan kimia di kawasan sungai.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar, S Veerapan berkata, daripada empat kes yang direkodkan tahun ini, hanya satu kes yang pelakunya berjaya dikesan.

Iklan
Iklan

"Dua kes di Rasah dan satu di Mantin serta Nilai tapi yang berjaya kita kesan suspeknya hanya kes pembuangan sisa kimia di Sungai Batang Labu berhampiran pekan Nilai minggu lalu.

"Sebab itu kita minta Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pasang CCTV di lokasi strategik seperti di persimpangan lampu isyarat atau laluan masuk ke kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembuangan sisa kimia," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Azuri Azizah Saedon.

Berdasarkan empat kes direkodkan tahun ini, Veerapan mengklasifikasikan kes pembuangan sisa kimia secara haram di negeri ini adalah agak serius.

Iklan

"Kerajaan tidak sesekali berkompromi dengan individu atau pihak yang didapati bersalah dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.

"Sisa kimia ini dibuang di sungai yang airnya digunakan untuk minuman dan urusan seharian. Jadi beberapa kali kita terpaksa menutup loji rawatan air untuk buat operasi pembersihan sungai bila terdapat kes dan ia memerlukan kos yang agak tinggi," katanya.

Berkenaan kes pembuangan sisa kimia di Sungai Batang Labu, Nilai minggu lalu, Veerapan berkata, sebuah lori yang disyaki digunakan untuk kesalahan itu telah ditahan di Taman Semarak di Nilai.

Menurutnya, lapan individu termasuk pemilik sebuah syarikat penyelenggaraan telah diambil keterangan berhubung kes itu.

"Kita masih menunggu keputusan ujian sampel air sungai yang tercemar itu dan jika semuanya selesai kita akan tuduh pelaku di mahkamah.

"Sebab itu kita sangat mengharapkan kerjasama masyarakat untuk membuat laporan segera kepada Jabatan Alam Sekitar jika terlihat aktiviti pembuangan sisa kimia supaya tindakan lebih mudah diambil," katanya