KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu mengakui sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu terbabit dengan rasuah berjumlah RM500,000.
Pengarah SPRM Terengganu Ruslan Che Amad berkata, pihaknya sedia maklum dengan isu yang ditularkan pihak tertentu sejak semalam dan pelbagai maklumat telah dikumpulkan.
Tanpa mahu mendedahkan secara terperinci, beliau yang dihubungi Bernama berkata, isu yang ditularkan orang ramai itu telahpun berada dalam pengetahuannya sebelum ini dan berharap tiada pihak yang menyebarkan apa jua maklumat di media sosial.
"Tindakan menyebar maklumat sepertimana yang berlaku semalam itu, sedikit sebanyak mengganggu siasatan. Jika ada pihak yang yakin dan mempunyai bukti yang dapat membantu siasatan, bolehlah tampil ke SPRM.
"SPRM tidak bersandar dengan apa yang tular semata-mata tetapi mengumpul bukti dengan penuh integriti,” katanya.
Semalam, beberapa 'tangkap layar' perbualan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai projek pasir dan imbuhan yang perlu diberikan kepada ADUN terbabit tular di media sosial.
Ia dikatakan perbualan antara seorang pegawai kanan sebuah institusi milik kerajaan negeri yang mewakili ADUN terbabit dengan seorang kontraktor.
Sementara itu, ADUN Kemasik Ir Saiful Azmi Suhaili yang menyedari telah dikaitkan dengan isu tersebut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan.
"Saya tiada masalah (untuk siasatan SPRM), sebab saya tak terlibat langsung dengan perkara tersebut. Saya juga sudah melantik peguam dan akan merujuk pada arahan atau keputusan yang dicadangkan oleh peguam, untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada waktu rehat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.
Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis dalam waktu terdekat, Saiful Azmi berkata, beliau akan merujuk kepada peguamnya sama ada terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
Beliau juga menegaskan tidak berjumpa dengan pegawai kanan berkenaan selepas isu tersebut tular. - Bernama