Media sosial medium murah, pantas suarakan pendapat

Iklan
Media sosial bukan hanya terhad kepada penulisan tetapi boleh digabungkan menjadi penulisan bersama audio dan video.

SHAH ALAM - Media sosial kini menjadi platform yang sangat popular untuk dimanfaatkan khususnya dalam kalangan anak muda bagi mengekspresi dan menyatakan apa sahaja pandangan mereka terhadap isu-isu di dalam mahupun luar negara.

Ciri-ciri media sosial yang begitu menarik, mudah diakses tidak kira di mana berada selain tidak mengenakan sebarang caj menjadikannya begitu 'mesra pengguna' untuk sesiapa sahaja bebas menyuarakan pendapat.

Dr Muhammad Fathi Yusof

Iklan
Iklan

Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, dalam Perlembagaan, kebebasan bersuara menjelaskan tentang kebebasan untuk meluahkan pandangan kepada awam termasuk kebebasan untuk mengakses kepada media iaitu hak orang ramai untuk mendapatkan bahan-bahan media bagi menatap dan mendengar pendapat daripada pelbagai pihak termasuk menguruskan media.

Namun katanya, dalam realiti kini apabila bercakap dalam konteks media sosial, internet termasuk portal berita dilihat sebagai sumber maklumat dalam bentuk penyampaian dan penerimaan informasi.

Iklan

Menurutnya, berlaku perubahan drastik dari sudut atau proses bagaimana maklumat itu disebarkan dan diterima orang ramai.

Beliau berkata, pada hari ini setiap individu mempunyai peluang dan ruang untuk menyampaikan apa saja pandangan, berita serta maklumat kepada semua orang dalam tempoh singkat atau masa sebenar (real time) malah tanpa ada had dari sudut atau skop tempat penyampaian.

Iklan

"Ia seolah-olah sekarang ini kebebasan bersuara adalah satu perkara yang tidak lagi mempunyai batasan bahkan boleh dimiliki dan dikuasai sesiapa pun.

"Cuma dalam aspek teknologi, kita juga kena ambil kira yang disebut sebagai perbezaan dari sudut akses kepada internet yang mana kawasan-kawasan tertentu yang ada masalah akses kepada internet tidak dapat menikmati hak kebebasan bersuara berbanding mereka yang mempunyai akses internet laju.

"Apabila bercakap soal kebebasan bersuara dalam konteks sekarang, semua berhak menyampaikan pandangan dan ia terlihat seperti satu kelebihan tetapi apabila kebebasan terlalu meluas, kita berdepan risiko-risiko tertentu apabila mereka yang menikmati kebebasan tidak menggunakan etika dengan baik," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Fathi berkata, dalam konteks batasan kepada kebebasan bersuara ini boleh dilihat dalam pelbagai aspek, sebagai contoh etika dan adab ia tidak dikuatkuasakan melalui undang-undang tetapi sebenarnya merupakan sebahagian daripada elemen penting dalam penggunaan kebebasan.

Menurutnya, etika dan adab dapat dipupuk melalui pendidikan termasuk menggunakan perkataan yang baik dan tidak kontroversi, sekali gus membolehkan masyarakat menghayati dan sentiasa berada dalam keadaan terkawal serta bertamadun.

Selain itu katanya, Malaysia juga mempunyai undang-undang yang memainkan peranan lebih tegas dari sudut penguatkuasaan iaitu undang-undang jenayah dan sivil.

"Jenayah ialah hukuman-hukuman yang boleh dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan media dan kebebasan bersuara, contohnya kesalahan hasutan seperti kenyataan yang memburukkan institusi beraja dalam negara, menimbulkan ketegangan kaum, mempertikaikan hak asasi dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Tindakan lain yang termasuk dalam Akta Hasutan juga boleh dikenakan tindakan undang-undang dari sudut jenayah. Begitu juga kesalahan jenayah fitnah yang termasuk dalam elemen yang ditentukan bawah Kanun Keseksaan, maka pihak yang membuat kenyataan boleh dikenakan tindakan di samping terdapat juga Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mengawal kandungan-kandungan termasuklah elemen lucah.

"Untuk mereka yang membuat kenyataan palsu ia tertakluk kepada tindakan sivil di mana pihak yang menjadi mangsa kenyataan fitnah boleh membuat tuntutan ganti rugi dan pelaku perlu bersedia untuk membayar jumlah ganti rugi ditetapkan. Di sini pendidikan amat penting supaya dapat mewujudkan masyarakat celik maklumat dan hak berdasarkan undang-undang dan adab," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata, media sosial sebenarnya bukan saja digemari anak muda tetapi juga oleh golongan dewasa kerana dianggap ruang untuk memberikan pandangan serta meluahkan perasaan kepada orang ramai secara terbuka dan dibaca semua orang.

Namun katanya, anak muda pula lebih hampir dengan media sosial kerana mereka telah mendapat pendedahan sejak kecil, selain mempunyai lebih kemampuan memahami 'nature' aspek teknikal penggunaan media sosial berbanding generasi lebih dewasa.

Dalam hal ini katanya, generasi muda sangat bergantung kepada gajet dan internet untuk berinteraksi, berhibur, mencari teman serta mengisi masa mereka.

"Dalam satu aspek, keadaan ini turut menyebabkan mereka kurang berinteraksi secara fizikal dan penting untuk kita didik generasi muda, masyarakat bahkan kanak-kanak agar mereka tidak bergantung kepada gajet dan tahu tentang adab, etika serta batasan apabila menggunakan gajet terutamanya untuk berkomunikasi dan memberi pandangan.

"Perlu ada didikan yang komprehensif berkaitan perbezaan interaksi antara satu pihak dengan pihak lain menggunakan media sosial berbanding interaksi secara berdepan atau bersemuka agar generasi muda memahami kesan dalam meluah pandangan dan sebagainya.

"Proses ini perlu diberi keutamaan agar dapat melahirkan generasi yang lebih beretika, beradab dalam menggunakan medium tersebut," katanya.

Sementara itu, Pakar Undang-undang dan Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, beliau melihat media sosial menawarkan kaedah berhubung yang amat mudah, tidak memerlukan syarikat, lesen dan kos, malah sesiapa sahaja boleh menggunakannya untuk menyuarakan pendapat mereka.

"Kini media sosial juga bukan terhad sekadar penulisan tetapi boleh digabungkan menjadi penulisan bersama audio dan video, maka sesiapa sahaja boleh membuat laporan, komen termasuk berita sendiri.

"Di media sosial juga tiada tapisan untuk setiap maklumat, komen atau pendapat yang diberikan kerana disiarkan secara langsung. Ciri-ciri mudah dan cepat untuk berkongsi maklumat seperti inilah yang menyebabkan masyarakat khususnya golongan muda begitu selesa untuk bersuara di medium tersebut," katanya.

Bagaimanapun katanya, apa yang dibimbangkan ialah maklumat, laporan atau pendapat disuarakan itu tidak mempunyai fakta menyeluruh atau mungkin disalah erti.

"Ini merupakan kekurangan medium media sosial. Lebih bahaya jika maklumat yang disampaikan menerusi platform ini palsu, berbentuk fitnah, sensitif atau kontroversi.

"Dalam pada itu, jika pendapat atau komen yang dilontarkan itu memalukan atau memfitnah orang lain, seseorang itu boleh dikenakan saman malu dan berdepan tindakan undang-undang," katanya.