KUALA LUMPUR - Seorang rakan kongsi Tetuan Lewis & Co memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa firma guaman itu bukan pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
V. Premshangar, 50, peguam cara dan peguam bela firma berkenaan berkata, firma guaman itu juga tidak pernah menguruskan fail dan buku lejar berkaitan Yayasan Akalbudi.
"Saya terlebih dahulu telah memeriksa rekod lejar serta pembukaan fail di pejabat saya. Kami tidak pernah membuka fail untuk Yayasan Akalbudi dan kami tidak pernah menjadi pemegang amanah Yayasan Akalbudi," katanya yang bekerja di Lewis & Co sejak 1995 dan menjadi rakan kongsi pada 1998..
Beliau berkata demikian semasa disoal balas peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid pada hari ke-32 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Semasa perbicaraan sebelum ini, dakwaan bahawa Lewis & Co adalah pemegang amanah Yayasan Akalbudi sering dibangkitkan oleh pihak pembelaan yang mewakili Ahmad Zahid.
Hisyam: Adakah kamu bersetuju bahawa perbincangan antara rakan kongsi kamu B.Muralidharan dengan Ahmad Zahid di kediamannya (Ahmad Zahid) di Country Heights, Kajang pada April 2016 adalah mengenai akaun simpanan tetap untuk Yayasan Akalbudi.
Premshangar: Saya tidak bersetuju kerana saya tidak terlibat dalam perbincangan itu.
Pada 30 Julai lepas, akauntan Lewis & Co, V Sothilechmy yang merupakan saksi ke-85 memberitahu mahkamah bahawa firma guaman itu ada membuka fail atas nama Yayasan Al-Falah pada Mei 2016 bagi tujuan kebajikan.
Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-66, peguam dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Al-Falah, Faisalludin Mohamat Yusuff, 43, memberitahu mahkamah bahawa yayasan itu adalah milik keluarga Hamidi (keluarga besar Ahmad Zahid) manakala Yayasan Akalbudi khas untuk Ahmad Zahid.
Sementara itu, ketika membacakan penyataan saksi, Premshangar mengesahkan bahawa beliau tiada pengetahuan bagaimana Lewis & Co boleh terlibat dalam pengurusan duit daripada Ahmad Zahid kerana perkara tersebut diuruskan sepenuhnya oleh Muralidharan.
"Berkaitan pengurusan cek-cek kemasukan wang ke dalam akaun ini (akaun pelanggan Lewis & Co) saya sahkan saya tidak terlibat dengan pengurusan cek-cek kemasukan dan pengeluaran wang tersebut kerana perkara tersebut diuruskan sepenuhnya oleh Muralidharan,” katanya.
Premshangar turut mengesahkan bahawa beliau tidak menerima apa-apa arahan secara terus daripada Ahmad Zahid berkaitan dengan kemasukan cek-cek ke dalam akaun tersebut dan arahan hanya melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu serta Muralidharan.
Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama