SEKINCHAN - Seorang pelajar Tingkatan 4 yang dalam perjalanan ke sekolah maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Tengah Tali Air 10 Pasir Panjang di sini pagi tadi.
Dalam Kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa Aini Nurnisa Md Arif, 16, maut ketika mendapatkan rawatan di bilik kecemasan Hospital Tanjong Karang.
Iklan
Iklan
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego S dalam perjalanan dari rumahnya ke sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mustafa, Pasir Panjang.
"Sejurus tiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar penunggang motosikal Yamaha 100 Sport yang berusia 17 tahun," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Chee Khoon berkata, penunggang motosikal Yamaha 100 Sport dipercayai dalam perjalanan dari arah Parit 10 Pasir Panjang menuju ke Sekolah Agama Menegah (SAM) Pasir Panjang bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
"Manga yang cedera parah di bahagian kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.