PRN Sabah: Warisan pertaruh 40 peratus calon muda

Iklan
Mohd Shafie Apdal

KINABATANGAN - Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan 40 peratus calon yang akan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah calon muda.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya dijangka memperkenalkan calon yang terdiri daripada kalangan belia selepas meneliti senarai calon-calon yang dikemukakan nanti.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH kita akan teliti nanti. Memang kita ada belia-belia yang potensi. Sebenarnya parti Warisan pun sebahagian besar pun terdiri daripada orang-orang muda seperti Ginger Phoong Jin Zhe baru 30-an, Junz Wong baru 30-an, Datuk Peter Anthony baru 40-an.

"Warisan sebenarnya antara parti yang sudah lama penyertaan orang-orang muda,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Iklan

Menurut Shafie, selain memiliki kriteria usia yang muda, calon-calon Warisan yang bertanding kelak juga haruslah berkebolehan termasuk faktor utama lain iaitu mampu meraih kemenangan serta tidak melompat parti.

"Kita akan letakkan calon yang ada kelebihan untuk menang, yang keduanya tidak melompat parti. Tidak ada gunanya jika kita menang lepas tu melompat parti,” katanya.

Iklan

DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan sebelum 29 September depan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan tetapi pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 73 kerusi.