PUCHONG -"Beras dah nak habis sedangkan bantuan bulanan zakat belum masuk lagi. Ketika solat saya doa supaya ALLAH SWT limpahkan rezeki kepada anak-anak... tak sangka bantuan makanan sampai selepas itu,” kata Rena Ajmal Mohd Padzil, 44.
Rena yang merupakan antara tujuh penerima sumbangan daripada Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia (Al-Qalam) berkata, gembira dipilih menerima bantuan tersebut ketika Jelajah Sentuhan Kasih Ziarah rumah ke rumah, semalam.
Katanya, dia baru bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah kedai makan dengan gaji sebanyak RM800 sebulan.
Menurutnya, dia ada menerima bantuan kewangan bulanan daripada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) sebanyak RM500 sebulan namun jumlah itu tidak mencukupi.
"Dulu saya mengasuh budak tapi pendapatan diterima tak mampu tampung enam anak yang bersekolah.
"Jadi saya cari kerja lain dan baru mula kerja. Selepas buka sekolah hari tu memang banyak pakai duit... ni pun beras dah habis, syukur sangat dapat terima bantuan makanan daripada Al-Qalam ni,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Al-Qalam, Datuk Seri Baharudin Abu berkata, sumbangan diagih kepada tujuh keluarga di sekitar Puchong hasil infak pesakit yang mendapat rawatan di pusat perubatan Al-Qalam di Kampung Tengah di sini.
Katanya, sudah lebih 100,000 asnaf dibantu menerusi pelbagai programdan pihaknya terus konsisten membantu golongan tidak berkemampuan termasuk dalam memberi rawatan perubatan alternatif percuma kepada pesakit miskin.
"Dalam program hari ini, kita agih bantuan beras, makanan dan wang tunai kepada asnaf, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas dipilih berdasarkan mereka yang layak.
"Al-Qalam dapat maklumat berhubung asnaf ini daripada pertubuhan Team Marhaen Puchong yang lebih kenal mereka yang betul-betul layak terima bantuan,” katanya.
Baharudin berkata, setelah membuat lawatan dari rumah ke rumah , beliau mendapati ramai yang masih hidup dalam kesusahan dan layak dibantu.
"Saya dapati ada yang berpendapatan kecil mempunyai anak ramai masih bersekolah, ada ibu tunggal yang bekerja untuk tanggung empat anak dan ada yang tak bekerja tetapi menyara anak OKU serta anak yatim.
"Program sama akan digerakkan di Perak pula dalam masa terdekat untuk kita bantu golongan miskin tegar di sana pula,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, Al Qalam akan mengenalpasti 10 asnaf yang layak untuk diberi suntikan modal berniaga kecil-kecilan.
Katanya, menerusi bantuan itu penerima akan diberi bantuan modal, kelengkapan berniaga dan kursus untuk memulakan perniagaan.
"Kita harap menerusi cara ini dapat kurangkan beban mereka untuk teruskan hidup di masa akan datang,” katanya.