Jangan kecam penguat kuasa kena tahan, kata Asri

Iklan
Mohd Asri Hamid

SHAH ALAM - Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid meminta warganet supaya tidak mengecam dan memaki-hamun tiga penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang ditahan serta akan dihadapkan ke mahkamah bagi permohonan reman di bawah Sekyen 11 Kanun Acara Jenayah kerana mereka juga mempunyai keluarga.

Beliau berkata, ALLAH SWT sedang mengangkat darjat mereka dengan ujian ini dan Insya-ALLAH mereka akan menjadi manusia yang lebih baik selepas ini.

Iklan
Iklan

"Kita mungkin tidak diuji sebegitu, jadi jangan memaki mereka berlebihan. Saya minta warganet jangan kecam mereka.

"Saya lihat ramai yang kecam polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Jangan, mereka juga ada maruah. Tidak semua penguat kuasa bertindak begitu. Saya harap selepas daripada ini semua pihak turunkan ego masing-masing," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri Ke- 186 bertajuk Isu Judi: Fitnah atau Realiti? di Studio F Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.

Iklan

Tiga anggota penguat kuasa MBSA, Cawangan Sungai Buloh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melindungi premis perniagaan tanpa lesen.

Penguat kuasa berusia antara 41 hingga 49 tahun itu turut disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan.

Iklan

Suspek ditahan dalam satu operasi khas SPRM ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Mengulas lanjut, Asri berkata, sudah sekian lama isu mesin judi haram berlaku di negara ini tetapi tidak ada satu formula bagi memastikan aktiviti tersebut hilang di negara ini.

Panelis Kamal Affandi; Nadzim, Mohd Asri dan moderator, Azlan Shah bergambar dengan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

"Berapa banyak wacana tentang perkara ini dibuat tetapi ia tidak selesai juga. Sebenarnya ia memerlukan formula yang memastikan ia tidak boleh bertapak di Malaysia.

"Bagi tauke mesin judi ini, dia memikirkan soal perniagaan dan untung. Mereka tidak kira soal halal dan haram tetapi kita orang Islam ini ada batasnya, ada perkara halal dan haram," katanya.

Jelasnya, anggota dan pegawai penguat kuasa perlu memahami agama dan itu merupakan formula bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

"Kita mahu orang yang menjaga negara ini faham tentang agama. Sebaiknya angkat pelajar daripada mahad tahfiz untuk menjadi pegawai polis, imigresen, PBT dan sebagainya. Mereka ini faham tentang agama.

"Satu perkara yang saya ingin tekankan ialah PBT bila jumpa dengan peniaga, jangan berlagak samseng, tidak salah jika kita bercakap lembut. Siapa lagi kita mahu bercerita masalah kalau bukan penguat kuasa," katanya.