Perlumbaan mencari vaksin Covid-19

Iklan
Negara-negara seperti China, Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan United Kingdom paling awal memulakan penyelidikan sejak Januari lalu. - Gambar hiasan 123RF

AHAD lalu Kazakhstan menjadi negara terbaharu yang mengumumkan menyertai perlumbaan mencari vaksin Covid-19. Menariknya, negara itu mendedahkan mereka kini sedang dalam peringkat ujian praklinikal yang akan berakhir 20 Ogos ini sebelum ke fasa seterusnya menjalankan ujian ke atas 44 sukarelawan.

Penyertaan negara Asia Tengah itu menghangatkan lagi perlumbaan mencari penawar koronavirus yang ditunggu-tunggu oleh penduduk dunia.

Iklan
Iklan

Namun, sebelum Kazakhstan, beberapa negara lain menerusi syarikat farmaseutikal masing-masing turut mengorak langkah dalam pecutan ke garisan penamat itu.

Negara-negara seperti China, Amerika Syarikat (AS), Australia, Jerman dan United Kingdom paling awal memulakan penyelidikan sejak Januari lalu.

Iklan

AS menerusi syarikat Moderna kini sudah menjalankan ujian pertama ke atas manusia pada Mac lalu. Sejak bulan Julai, vaksin ciptaan Moderna sedang diuji ke atas manusia secara besar-besaran.

Tidak terkecuali, China kini bersaing dengan AS apabila pasukan penyelidikan mereka turut mengadakan ujian ke atas anggota tentera. Yang pasti, daripada 188 jenis vaksin yang sedang dihasilkan, tiada satu pun berada pada fasa terakhir atau fasa keempat.

Iklan

Daripada jumlah itu, 139 jenis vaksin baharu berada pada peringkat praklinikal, 25 vaksin pada fasa satu, 17 vaksin pada fasa dua dan hanya tujuh sedang memecut pada fasa ketiga.

Daripada tujuh vaksin tersebut, empat daripadanya merupakan vaksin inovasi syarikat China, manakala masing-masing satu dari AS, Jerman dan Australia.

Semalam, Rusia mendakwa menjadi negara pertama berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 dan menamakannya sebagai Sputnik V, sempena nama satelit Soviet. Persoalannya, secepat manakah Rusia boleh memulihkan dunia?

Dengan populasi dunia melebihi tujuh bilion, perlumbaan mencari vaksin Covid-19 yang berkesan, murah dan boleh dipasarkan secara besar-besaran belum benar-benar berakhir. Maka, Rusia juga belum boleh ditabalkan sebagai pemenang dalam perlumbaan ‘maraton’ yang panjang ini.