MARANG - Pas meminta pengundi beragama Islam di PRK Cameron Highlands menyokong calon BN, Ramli Mohd Nor yang mempunyai sifat keagamaan selain mempunyai rekod bersih.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata, calon terbabit yang merupakan bekas pegawai polis juga dikenali tidak pernah melakukan sebarang salah laku sepanjang beliau berkhidmat.
Menurutnya, Ramli juga tidak meminta dirinya untuk dicalonkan sebaliknya beliau dipujuk dan keputusan itu mendapat persetujuan bukan sahaja daripada Umno dan MIC tetapi termasuk juga Pas.
"Kita bersetuju melantik beliau menjadi calon dan memakai simbol BN kerana kita mengambil kira undi BN yang sudah besar dalam PRU14.
"Dan kita harap supaya rakyat termasuk bukan Islam tidak memilih calon DAP yang menunjukkan tanda-tanda negatif terhadap Islam, yang tidak boleh disembunyikan," katanya.
Hadi juga menyifatkan parti itu merupakan oportunis untuk mendapatkan kuasa politik semata-mata tanpa mengambil kira Perlembagaan yang menjurus Islam agama Persekutuan dan hak kebebasan beragama.
"Kita minta supaya kaum yang bukan Islam kalau mahu selamat jangan undi DAP, undi calon Islam ni semua selamat," kataya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di kediamannya di Rusila di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Hadi meminta pengundi bukan beragama Islam agar tidak mengundi calon DAP sebaliknya memberi sokongan dengan mengundi calon beragama Islam mewakili BN.
Sementara itu, beliau menyifatkan calon bertanding dengan tiket Bebas pula sebagai 'calon jadi-jadian' yang bertanding sekadar untuk memecahkan undi dalam PRK Cameron Highlands.
Dalam pada itu, pemimpin Pas itu turut menyifatkan DAP tidak mempunyai modal untuk mengecam Pas melainkan dengan menggunakan modal politik yang dicipta dan direka sendiri.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, bukan perjuangan Pas untuk menjadi Perdana Menteri seperti pernah didakwa pemimpin veteran dalam DAP, sebaliknya adalah untuk memperjuangkan agama Islam.
"Bukan perjuangan kita untuk menjadi Perdana Menteri, perjuangan kita untuk selamatkan negara dengan Islam," katanya.