Suami isteri jiwa remaja

Iklan
Bahagia rumah tangga adalah apabila suami isteri kekal jiwa remaja. - Gambar hiasan

WATAK Mak Leha lakonan Liza Abdullah menjadi bualan peminat drama Melayu sejak kebelakangan.

Watak ibu mentua yang membenci menantu dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang sedang ditayangkan di saluran televisyen TV3 itu menunjukkan ada peranan pihak ketiga dalam menentukan hala tuju rumah tangga.

Iklan
Iklan

Realitinya, wujudkah ibu mentua sebegitu laku? Ibu mentua yang membenci menantu sehingga mengisytiharkan perang dan bermusuhan dengan menantu sendiri. Harapnya janganlah ada yang buruk laku ikut perangai Mak Leha. Sayang anak, kasihi menantu.

Mungkin ada ibu mentua yang mempunyai sikap seperti Mak Leha tetapi perkara utama yang perlu diambil kisah ialah peranan suami itu sendiri. Bagaimana si suami mahu mencorakkan rumah tangga yang dibina? Suami sebagai nakhoda yang mencoraknya atau ada ‘penasihat’ lain yang berasakan mempunyai kuasa veto.

Iklan

Sebenarnya baik jalan cerita itu ataupun kehidupan sebenar, banyak rencahnya terutama bagi perkahwinan yang makin matang usianya. Ada masam, pahit dan semestinya rasa manis paling melimpah ruah. Itulah lumrah hidup berumah tangga. Namun, bagaimana mahu kekal setia dan bahagia dalam perkahwinan yang dibina atas dasar kasih sayang itu?

Bagi penulis, bahagia rumah tangga adalah apabila suami isteri kekal jiwa remaja. Berjiwa remaja dalam perkahwinan bukan bermakna kita jadi remaja. Sebaliknya tindakan kita dalam memberi keceriaan dan harmoni dalam rumah tangga. Paling mudah, kita buat apa yang pernah kita lakukan masa bercinta.

Iklan

Nak kembali lagi menghangatkan rumah tangga ialah kekal romantik. Romantik itu subjektif. Bukan hanya dari segi percakapan, perbuatan pun boleh jadi romantik kalau betul gayanya. Tak susah pun. Kalau tak pandai bermulut manis memuji pasangan, tunjuk betapa romantiknya anda dengan perbuatan.

Romantik perbuatan bukanlah dengan membeli emas ‘pulut dakap’, ‘apam balik’, ‘biji sawi’. Ikut kemampuan sendiri. Cara lain ialah bawa isteri jalan-jalan. Orang perempuan ni bawa pi pasar malam pun depa dah syok tak sangga dah. Sungguh! Tambah pula pi naik motosikal berdua. Romantik baq hang!

Bab romantik ini, kalau mahu boleh saja kita tiru bagaimana Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menunjukkan sporting Seri Paduka Baginda berdua di khalayak.

Beberapa keping gambar ‘comel’ Seri Paduka Baginda berdua boleh dilihat dalam Instagram Istana Negara yang menunjukkan contoh romantisnya kehidupan berumah tangga.

Sikap begitu sangat penting. Kadang-kadang ia semudah memegang tangan pasangan sebagai tanda kita sentiasa ada untuk melengkapkan hidup berumah tangga. Selain itu, buat kelainan tanpa diduga kepada pasangan anda. Something special. Special untuk dikenang sampai mati. Boleh buat kelainan ketika menyambut anniversary. Asyik tiup lilin kek... klise!

Penulis dan pasangan menyambut anniversary yang ke-10 dengan membuat sesi outdoor fotografi bersama anak-anak. Menariknya kami memakai baju pengantin. Salah satu kelainan juga kan! Orang sekeliling dah pandang. Paling tidak dalam hati mereka:"Duda kahwin anak dara kot.” Pedulikan.

Motif kami adalah untuk kembali berjiwa remaja dalam perkahwinan. Memang betul rasa jiwa remaja ketika itu. Mana tidaknya, tahun ke-11 kami sambut dengan baby baharu. Rezeki ALLAH SWT.

Kesimpulannya, nak kekal setia dan romantik dalam perkahwinan tak susah mana pun. Atas diri sendiri. Jangan biarkan ada pihak ketiga campur tangan hal rumah tangga kita walaupun ibu sendiri.

Suami sebagai ketua keluarga kena mainkan peranan. Semakin meningkat usia perkahwinan, makin kita kena pelihara rumah tangga sebaik mungkin. Tak mahu pada hujung usia kita, masa itu jugalah rumah tangga yang dibina sekian lama runtuh hancur. Rugi.

Yang tidak kurang pentingnya ialah persefahaman kita dengan pasangan. Maklumlah masing-masing ada impian. Tunjukkanlah sokongan dan berilah semangat kepada pasangan anda kerana apa yang diusahakan itu untuk rumah tangga juga akhirnya.

Maka mulai sekarang, berjanji dengan pasangan nak tua sama-sama. Nak kira uban sama-sama. Insya-ALLAH, semoga perkahwinan kita diberkati hingga ke jannah. Barulah kena dengan tanda pagar #tilljannah yang sering digunakan muda mudi zaman ini.

Pada kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-12 pada 14 Ogos ini kepada suami tercinta. Sempena ulang tahun kali ini suami ada bertanya:"Tak mau sambut pakai baju pengantin lagi ka?” Laju penulis jawab sambil gosok perut:"Tak mau dahh!”

*Nurhafiza Hasan ialah Editor Halaman Sinar Harian