JADUAL saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal bersambung 26 Ogos ini masih kekal seperti biasa di sebalik cadangan agar Kuching FA, Sarawak United dan Sabah dibenarkan untuk ‘berkampung’ di Semenanjung.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, setakat ini masih belum ada apa-apa pindaan yang dibuat dan kesemua perlawanan masih kekal sebagaimana yang telah dijadualkan seperti sebelum ini.
"Bagi pihak MFL, saya melihat cadangan itu baik tetapi jika ketiga-tiga pasukan berkenaan ditempatkan di Semenanjung, siapa yang nak tanggung kos? Kita faham kesukaran untuk masuk ke Sarawak ketika ini tetapi kita tetap akan pantau perkembangan kes Covid-19 di sana.
"Apa pun, kita akan bawa perkara itu pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam masa terdekat dan kita akan tengok langkah-langkah yang boleh dilaksanakan nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan cadangan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustaffa supaya ketiga-tiga pasukan dari kepulauan Borneo itu ditempatkan Semenanjung bagi mengurangkan risiko kes jangkitan pandemik Covid-19.
Malah, cadangan itu disambut baik oleh dua pemain legenda Sarawak, Mazlan Wahid dan Abdul Jalil Rambli serta Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan termasuk pengurusan Kuching FA.
"Kita sudah adakan perbincangan dengan pengurusan Kuching FA. Kita tunggu jika ada berlaku sebarang perubahan tidak lama lagi. Kita juga ada pelan tetapi kita masih perlu bincangkannya dengan Ahli Lembaga Pengarah MFL terlebih dulu,” jelas Ab Ghani.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam meminta MFL menghantar permohonan secara rasmi kepada FAM jika memerlukan sebarang bantuan berkaitan penganjuran liga yang tidak hanya melibatkan aspek kewangan.
"Suka saya ingatkan di sini bahawa urusan pentadbiran dan perjalanan termasuk berkaitan pasukan atau kelab Liga-M adalah di bawah kendalian MFL, FAM tidak boleh mencampuri urusan MFL.
"Buat masa ini, dana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bukanlah untuk kegunaan perjalanan liga, mungkin MFL sudah mempunyai jalan penyelesaian bagi mengatasi isu berkenaan.
"Bagaimanapun, sebarang permohonan rasmi yang dikemukakan itu nanti tidak semestinya diluluskan. Sebaliknya, FAM akan mengkaji dan melihat secara keseluruhan permohonan MFL itu mengikut keperluan dan situasi semasa,” jelasnya.