Guru maut nahas babit empat kenderaan

Iklan
Kereta mangsa remuk selepas bertembung dengan sebuah MPV dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Padang Menora di sini petang semalam.

KEPALA BATAS - Seorang guru maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Padang Menora di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, mangsa Wahida Najib Roslan, 36, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Onn, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Saga dipandu mangsa, sebuah motosikal, sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 37 tahun dari arah Tasek Gelugor menghala ke Bukit Mertajam cuba memintas sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di hadapannya.

Iklan

Menurutnya, mangsa yang memandu kereta Proton Saga dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian kanan motosikal sebelum kenderaannya berlanggar dengan sebuah Nissan Serena yang berada di belakang Toyota Hilux.

"Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan badan selain tersepit di dalam keretanya.

Iklan

"Penunggang motosikal yang tercampak di atas jalan raya mengalami patah kaki dan tangan kanan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Penunggang motosikal mengalami patah kaki dan tangan kanan.

Noorzainy berkata, mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pihak bomba dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

"Penunggang motosikal terbabit turut dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam sebelum dipindahkan ke hospital swasta bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih lagi dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Inspektor Nur Syafinaz Abdul Aziz di talian 018-2881424 bagi membantu melengkapkan siasatan," katanya.