Lang Merah lega terima bayaran gaji Julai

Iklan
Muhammad Sanusi (dua dari kiri) pada sidang media semalam. Turut kelihatan Timbalan Presiden KFA, Datuk Abdul Rahman Abdullah (kiri), Ketua Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (dua dari kanan) dan Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Shahrin Sahak.

ALOR SETAR - Pegawai dan pemain Lang Merah mampu menarik nafas lega dan bersemangat apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menjelaskan bayaran gaji bagi bulan Julai selepas tidak menerima sebarang tunggakan gaji sejak lebih lima bulan lalu.

Bagaimanapun bagi tunggakan gaji bagi bulan Mac, April, Mei dan Jun, KFA masih belum menyatakan bila akan diselesaikan dan ia bergantung kepada rundingan bersama pemain-pemainnya.

Iklan
Iklan

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, pihaknya optimis untuk menyelesaikan semua masalah hutang yang tertunggak pada musim ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, KFA akan berusaha memastikan agar hutang-hutang tersebut tidak diheret ke musim seterusnya kerana akan terus membebankan pengurusan dan juga momentum pasukan dalam saingan Liga Malaysia.

Iklan

"Saya memberikan jaminan bahawa semua ini akan selesai pada musim ini juga. Kita takkan keluar dari musim ini dengan bawa hutang dan itu janji saya," katanya pada sidang akhbar di kediaman Menteri Besar Kedah di Mentaloon, Alor Setar semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tunggakan gaji pemain KFA dibincang 3 Ogos depan

Iklan
Kaedah situasi menang-menang atasi tunggakan gaji pemain Kedah

Menurutnya, KFA baru sahaja selesai mengadakan rundingan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membincangkan kaedah bayaran dan menyusun kembali caruman yang tertunggak sejak tahun 2019 lagi.

Muhammad Sanusi berkata, berhubung baki gaji pemain yang tertunggak sejak Mac lalu, beberapa kaedah akan dilakukan termasuk mengadakan rundingan melibatkan KFA dan pemain.

"Tentang pemotongan gaji semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita akan berunding dengan pemain. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga ada menyarankan peratus pemotongan gaji namun semua itu tertakluk kepada persetujuan pemain.

"Bagi pemotongan gaji pada bulan seterusnya belum diputuskan lagi dan pemain juga tidak suka gaji mereka dipotong. Apa-apapun kita akan bincang terlebih dahulu di peringkat KFA,"katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penajaan pada musim ini, beliau menjelaskan rundingan kembali dijalankan bagi yang belum melunaskan bayaran seperti dipersetujui dalam kontrak.

"Selepas rundingan, mereka akan cuba penuhi namun rasanya tidak sampai 50 peratus seperti yang dipersetujui. Kita faham mereka terjejas disebabkan oleh Covid-19, namun di pihak KFA sudah berikan komitmen dan kini giliran penaja untuk sama memberikan komitmen," katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi meraikan Lang Merah termasuk barisan kejurulatihannya dalam satu majlis santai dan dalam ucapannya, beliau memohon maaf bagi pihak pengurusan lama dan baharu disebabkan kesukaran yang dihadapi oleh pemain-pemain.