IPOH -"Pak Lang, sekarang ni Haziq seorang sahaja ke yang hidup?"
Pertanyaan itu meruntun hati Mohd Zakri Mat Isa, 37, bapa saudara kepada Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul yang terselamat dalam nahas yang mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 5 Jalan Keramat Pulai berhampiran Simpang Lubuk Timah semalam.
Nahas membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki 10 sekeluarga dengan treler itu telah menjadikan Muhammad Haziq, 9, yatim piatu sekelip mata apabila kedua ibu bapa serta adik perempuannya, Mohd Zairul Mat Isa, 34; Nuratiqah Abd Hamid, 30, dan Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4, terkorban.
Muhammad Haziq yang terselamat dalam kejadian itu mengalami patah tangan kanan dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Mohd Zakri berkata, dia bertemu dengan anak saudaranya itu sekitar jam 5 pagi tadi untuk memantau keadaannya.
Katanya, anak saudaranya itu sempat bertanya keadaan nenek, ayah, mak dan adiknya sebaik dia sedar.
"Haziq ni memang petah budaknya, dia cerita yang ketika kejadian dia tidur dan sedar-sedar dah ada di hospital.
ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh maut, Alza bertembung lori
Identiti mangsa nahas MPV dikenal pasti
Nahas MPV: Saksi sayu terdengar jeritan, tangisan mangsa
"Seolah-olah tahu akan kejadian yang berlaku ke atas keluarganya, dia bertanya adakah hanya tinggal dia seorang sahaja yang hidup," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HRPB di sini hari ini.
Menurutnya, sebagai bapa saudara, dia tidak sampai hati untuk menceritakan perihal sebenar kejadian itu.
"Memang saya tak sampai hati nak beritahu mak ayahnya sudah tiada, tetapi dia beritahu yang dia dah tahu selepas diberitahu sendiri oleh ibu saudaranya," katanya.
Pasangan Mohd Zairul yang bekerja sebagai peniaga dan Nuratiqah baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan mereka pada 3 Ogos lalu.
Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, mereka yang maut adalah Mohd Zairul Mat Isa, 34; Isterinya, Nuratiqah Abd Hamid, 30 dan anak bongsu, Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4.
Turut terkorban ibu Mohd Zairul, Fatimah Mat Isa, 68, dan supupu, Zulkifli Shuib, 49, isterinya, Hasliza Mahmud, 40 serta anak mereka, Mohd Alif Firdaus, 3.
Selain Muhammad Haziq, turut terselamat adalah dua beradik iaitu anak kepada Hasliza, Firash Mikhael Azrie Syah, 11, dan abangnya yang dikenali sebagai
Apit berusia 16 tahun, mereka masih ditempatkan di zon merah HRPB akibat cedera parah.
Pemandu treler berusia 32 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketika kejadian, MPV yang membawa dua keluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Badlishah, Mukim Terap, Serdang, Kedah selepas bercuti di Pulau Pangkor dan Cameron Highlands sejak Ahad lalu.