Pemuda UMNO gesa PTPTN kembalikan pinjaman 100 peratus

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyemak semula polisi pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara berkadar kepada pelajar di pusat pengajian tinggi (IPT) mengikut pendapatan isu rumah keluarga kepada pinjaman penuh merangkumi yuran pengajian dan sara hidup.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lalu telah menamatkan amalan pemberian pinjaman penuh dengan alasan kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan yang teruk.

Iklan
Iklan

"Bagi Pemuda UMNO, keputusan terdahulu oleh PH dibuat dengan tergesa-gesa, separuh masak dan tidak mengambil kira keupayaan sebenar rakyat yang selama ini mendapat banyak manfaat daripada polisi pinjaman PTPTN di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Sebagai contoh, polisi PTPTN pada zaman PH memerintah langsung tidak mengambil kira bilangan anak yang sedang mengikuti pengajian di pelbagai IPT, walaupun pendapatan isi rumah telah melangkaui tahap kategori M40," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam formulasi dasar pinjaman PTPTN oleh kerajaan ialah jumlah hutang tabung pinjaman berkenaan yang dikatakan mencecah RM40 billion setakat Mei 2019.

"Namun begitu, polisi menggalakkan pembayaran balik pinjaman oleh graduan-graduan sentiasa diperkemas dan ditingkatkan pada era pentadbiran BN termasuklah penglibatan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) dan lain-lain sehingga mencatatkan peningkatan kutipan.

Iklan

"Kami berpendapat polisi pinjaman PTPTN zaman PH harus segera ditamatkan dan dikembalikan pemberian pinjaman penuh 100 peratus lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat bertambah susah lantaran terkesan dengan kegersangan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19," katanya.

Justeru, Asyraf Wajdi berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat mempertimbangkan gesaan tersebut bagi meringankan beban rakyat terutama puluhan ribu pelajar yang sedang dan bakal melanjutkkan pengajian di peringkat tinggi.

"Sekali gus ia mampu memberikan pulangan pelaburan jangka panjang modal insan negara masa depan," katanya.