Maqis rampas kulit ayam dari Netherlands

Iklan
Pegawai Maqis mengangkat kulit ayam sejuk beku gred A yang dirampas di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Isnin lalu.

BUTTERWORTH- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk kulit ayam sejuk beku gred A dari negara Netherlands tanpa mematuhi syarat import di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini Isnin lalu.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, barang dagangan itu dikesan semasa pemeriksaan rutin dilakukan oleh pegawai Maqis di tapak pemeriksaan kontena NBCT sebelum mendapati terdapat kulit ayam gred A sejuk beku yang cuba dibawa masuk ke negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, barang dagangan tersebut didapati tidak mematuhi syarat import sepertimana yang dinyatakan pada permit import Maqis.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 1,375 kotak kulit ayam sejuk beku gred A yang dimuatkan dalam satu kontena dan kesemua dagangan yang bernilai RM100,521.85 itu ditahan untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Kami difahamkan tujuan kulit ayam diimport untuk diproses menjadi produk makanan segera seperti sosej ayam, nugget ayam dan lain-lain produk untuk pasaran Malaysia dan juga pasaran luar negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zarina berkata, kegagalan untuk mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) akta yang sama.

Iklan

Katanya, Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan ke atas keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.