184 veteran, 28 balu terima Pingat Jasa Malaysia

Iklan
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (dua, kiri) beramah mesra bersama pesara Angkatan Tentera Malaysia ketika hadir pada majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Peringkat Negeri Johor, hari ini. - Foto Bernama
MUAR - Sebanyak 184 veteran tentera dan 28 balu hari ini menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi peringkat negeri Johor dalam satu majlis yang diadakan di Dewan SBJ, Bakri di sini hari ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, tujuan penyampaian pingat itu adalah bagi menghargai dan mendekati para veteran tentera serta balu yang telah banyak menyumbang bakti kepada negara.

"Pihak kementerian menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran sentiasa menjaga kebajikan bekas tentera dan memberi pelbagai bantuan termasuk dari segi bantuan kesihatan, bantuan persekolahan anak-anak bekas veteran dan lain-lain,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Mohamad berkata, terdapat kira-kira 300,000 orang veteran berpencen dan tidak berpencen di seluruh negara dan ada daripada mereka yang tinggal jauh di luar bandar dan tidak mempunyai maklumat tentang bantuan yang berhak mereka terima.

Pada majlis tersebut, Mohamad turut menyampaikan Anugerah Ikon kepada 10 usahawan veteran yang mendapat bantuan Skim Pembiayaan Mikro Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (SPMUV).

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara berkata proses persiapan bagi Konvensyen Amanah yang akan berlangsung di Perak pada 14 hingga 16 Disember ini berjalan dengan lancar. - Bernama