Cuepacs saran sistem giliran dalam kalangan penjawat awam

Iklan
ADNAN

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpandangan had maksimum bertugas atau sistem penggiliran wajar dilaksanakan dalam kalangan penjawat awam terutama bagi petugas di agensi penguatkuasaan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya pelanggaran integriti dan rasuah jika berada di tempat sama dalam tempoh lama.

Iklan
Iklan

"Had maksimum bertugas serta penggiliran, pertukaran ke unit atau jabatan lain menjadikan penjawat awam tidak berasa terlalu selesa sekiranya bertugas terlalu lama di sesuatu unit atau jabatan. Perasaan terlalu selesa ini bukan sahaja menjadikan penjawat awam tidak kompeten, malah mengundang ke arah penyalahgunaan kuasa.

Bagi agensi tertutup seperti pihak berkuasa tempatan, skop fungsi tugas boleh diubah setiap tiga tahun atau membuat pertukaran dalaman pada suatu pekan kecil yang lain bagi mengelakkan berada di tempat yang sama sekali gus boleh meningkatkan kompetensi penjawat awam itu sendiri apabila mereka mempunyai kemahiran yang pelbagai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya sistem penggiliran atau pertukaran pegawai ke jabatan lain mahu dilaksanakan ia tidak boleh dilakukan terlalu kerap hingga mengakibatkan penjawat awam itu tidak sempat menguasai bidang tugas masing-masing.

Katanya, satu tempoh minimum perlu ditetapkan bagi memastikan mereka mahir dengan bidang tugas berkenaan serta perlulah bersifat mendidik dan membina bukan semata-mata menghukum.

Iklan

"Kami memandang serius isu-isu berkaitan pelanggaran integriti dan pecah amanah yang melibatkan penjawat awam di negara ini. Walaupun berasa dukacita, kami berharap perbicaraan adil dan telus perlu diberikan kepada setiap rakyat termasuk penjawat awam itu sendiri bagi memastikan tidak wujud unsur penganiayaan.

Walaupun telah ditahan, perkara ini tidak membuktikan mereka bersalah sebelum mahkamah membuktikan mereka bersalah, beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.

Katanya lagi, Cuepacs tidak akan melindungi individu yang terlibat dengan perbuatan yang melanggar undang-undang negara dan hukuman yang setimpal wajar dikenakan sekiranya individu terbabit terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang memberi respons pantas untuk menangani isu integriti dalam kalangan anggota polis dan penjawat awam baru-baru ini.

Adnan berkata, semua penjawat awam harus sedar dan sentiasa mengingati prinsip atau ikrar sebagai penjawat awam yang perlu berkhidmat untuk rakyat dan negara serta menjadi contoh kepada masyarakat dalam mematuhi setiap peraturan dan undang-undang negara.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata, Cuepacs menyifatkan dakwaan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut bahawa kebanyakan anggota polis dan tentera tidak menjaga solat sebagai penghinaan kepada pasukan keselamatan.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas agar memberi pengajaran di masa yang akan datang termasuk sesiapa sahaja yang membuat penghinaan sebegitu rupa,” katanya.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat Mohd Asri bukan sahaja boleh menjejaskan nama baik perkhidmatan awam, polis dan tentera tetapi telah menjatuhkan martabat agama Islam itu sendiri.

Semalam, satu klip video berdurasi 31 saat memaparkan Mohd Asri, 42, dalam satu sidang media mendakwa kebanyakan anggota polis dan tentera tidak menjaga solat. - Bernama