LIMA - Hubungan sulit pasangan yang sudah berkahwin memang sukar untuk disembunyikan.
Inilah yang terjadi kepada seorang lelaki di Lima, Peru yang berjaya mengetahui hubungan sulit isterinya semasa dia sedang melayari aplikasi Google Maps Streetview.
Menurut portal berita New York Post pada 11 Ogos lalu, ketika membuat pencarian Street View pada aplikasi tersebut, dia ternampak seorang lelaki sedang berbaring dengan kepalanya berada di atas paha isterinya yang memakai seluar panjang di atas sebuah bangku di sebuah lorong.
Ketika kejadian, lelaki tersebut sedang mencari jalan yang terbaik untuk tiba di sebuah jambatan yang popular di ibu kota tersebut.
Namun, tanpa disedarinya, sebuah kereta Google yang dilengkapi dengan kamera 360 darjah telah merakamkan kejadian itu.
Wanita itu didapati memakai baju berwarna putih dan seluar serta kasut but hitam.
Kekasihnya itu pula memakai baju berwarna putih dan seluar jean biru.
Walaupun muka isterinya dikaburkan, tetapi si suami mengecam wajah dia melalui pakaian yang dipakai olehnya.
Menurut portal berita The Sun, gambar tersebut sebenarnya dirakamkan pada tahun 2013 tetapi suaminya yang sedang berang kemudian bertanya kepada isterinya tentang kisah masa lampau hubungan itu.
Apabila berlaku satu perbalahan, si isteri akhirnya mengaku tentang hubungan tersebut menyebabkan mereka kemudian bercerai.