Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menawarkan peluang latihan dan penempatan pekerjaan dalam sektor pembinaan menerusi Program Penjana Kerjaya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, program itu dijayakan hasil kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Melalui kolaboratif ini, Perkeso akan membiayai latihan reskiling dan upskilling yang dilaksanakan oleh CIDB Malaysia,” katanya.
Menurutnya, program tidak tertumpu kepada pencarum Perkeso yang kehilangan pekerjaan sahaja malah turut fokus kepada semua pekerja yang diambil bekerja mulai 5 Jun lepas.
"Mereka ini termasuklah golongan lepasan ijazah, sekolah, pekerja yang diberhentikan kerja dan penganggur.
"Bagi pekerja yang diberhentikan kerja, mereka tidak dikenakan apa-apa syarat tetapi majikan tidak layak menuntut insentif pengambilan sekiranya menggaji semula mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CIDB dan Perkeso sempena Program Penjana Kerjaya Perkeso Sektor Pembinaan di Kuala Lumpur kelmarin.
MoU ditandatangani oleh Ahmad Asri bagi mewakili CIDB manakala Perkeso pula diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Majlis disaksikan oleh Menteri Kanan (Infrastruktur) Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Ahmad Asri berkata, CIDB berperanan menyediakan latihan dalam pelbagai bidang yang relevan kepada industri pembinaan selain mendapatkan penempatan yang sesuai untuk mereka yang telah dilatih.
Katanya, CIDB dengan kerjasama Perkeso sedang mengumpulkan maklumat kekosongan jawatan daripada syarikat kontraktor untuk diisi oleh mereka yang telah dilatih di bawah program itu.
"Sebagai permulaan kerjasama Perkeso, CIDB dan semua 560 majikan yang telah mendaftar dengan Program Penjana Kerjaya sedang menyusun program latihan besesuaian kepada 1,181 pekerja yang telah diambil di bawah program ini,” katanya.
Beliau berkata, yuran latihan akan ditanggung oleh Perkeso dan pekerja yang mengikuti latihan akan diberi elaun sebanyak RM30 sehari.
"Jalinan kerjasama ini juga menggalakkan semua kontraktor dan pekerja yang berdaftar dengan CIDB untuk berdaftar dengan Perkeso dan seterusnya menawarkan jawatan kosong di Portal MYFutureJobs,” katanya.
Sementara itu, Saravanan berkata, Penjana Kerjaya yang diadakan bermula dari 15 Jun sehingga 7 Ogos lepas menyaksikan seramai lebih kurang 8,170 majikan telah membuat pendaftaran bagi insentif pengambilan pekerja.