KAFA bukan tempat raih populariti

Iklan
Ahmad Muzakkir Hamid

PERSATUAN Bola sepak Kelantan (KAFA) meminta supaya tiada syarikat atau individu mengambil kesempatan untuk meraih populariti dengan menggunakan media bagi menyatakan minat mengambil alih atau membeli persatuan itu.

Sebaliknya, Naib Presidennya, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, syarikat atau individu yang berminat seharusnya berjumpa dan melakukan rundingan dengan persatuan itu sebelum mengeluarkan kenyataan kepada media.

Iklan
Iklan

"Kami tidak mahu KAFA menjadi tempat bagi kepentingan diri dalam usaha kami untuk memperkuatkan persatuan dan akhirnya nama syarikat atau individu itu meletup tanpa ada hasil kepada KAFA.

"Ia kerana tindakan itu memberikan kesan kepada rundingan kami dengan pihak yang serius untuk membeli atau bekerjasama dengan persatuan," katanya di sini hari ini.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan terdapat beberapa pihak berminat untuk membeli KAFA antaranya pakar pelaburan Norizam Tukiman dan bapa kepada pemain negara Wan Kuzain dan Wan Kuzri, Wan Kamal Wan Napi.

Ahmad Muzakkir berkata, sesiapa ingin memiliki Kelantan FC tidak mungkin memiliki kuasa penuh kerana ia juga tertakluk kepada penubuhan persatuan itu yang mana KAFA sebuah persatuan yang dipertanggungjawabkan.

Iklan

"Untuk mahu kuasa penuh daripada KAFA sukar berlaku kerana apa jua terjadi akan kembali dan terpalit kepada KAFA, oleh itu KAFA mesti ada kuasa juga.

"Ia sudah terjadi pada hari ini di mana pemilikan saham Syarikat TRW Sdn Bhd ialah 80 peratus yang dimiliki penaja utama dan 20 peratus dimiliki oleh KAFA... akhirnya segala beban telah kembali kepada KAFA setelah penaja utama itu menarik diri," katanya.

Katanya, sesiapa yang ingin membeli KAFA khususnya pasukan Kelantan pihaknya mengalu-alukan dan boleh berunding semeja untuk mencapai kata sepakat.

"KAFA berusaha selesaikan hutang, namun untuk jangka masa yang singkat mungkin sukar dilakukan jika itu syarat yang diletakkan oleh pihak yang berhasrat mengambil alih atau membeli pasukan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, syarat untuk mengambil alih atau membeli tanpa sebarang liabiliti dan kesemua hutang lapuk berjumlah RM4.6 juta diselesaikan terlebih dahulu tidak mungkin dilaksanakan pada masa ini. - Bernama