Saya tidak hadir esok: Mohd Khusairi

Iklan
Datuk Mohd Khusairi Abd Talib
IPOH -"Saya buat keputusan untuk tidak hadir,” itu reaksi Adun Slim yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Perak (PAC), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib apabila dipanggil sesi pendengaran awam berkaitan akaun MBInc, esok.

Menurutnya, dia masih berpegang kepada keputusan mesyuarat pertama PAC pada 5 Oktober lalu berhubung pelantikan sebuah firma audit bebas bagi membuat audit dalaman terhadap MBInc.

Khusairi berkata, beliau telah pun menyatakan bantahan terhadap langkah memanggil bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBInc, Datuk Aminudin Hashim memberikan penjelasan di sesi pendengaran awam berkenaan.

"Setelah mengambil kira pelbagai sudut, saya selaku anggota Jawatankuasa (PAC) Perak telah membuat keputusan untuk tidak hadir pada sesi pendengaran awam esok.

"Pada pre-council PAC Jumaat lalu, saya telah pun menyatakan bantahan terhadap langkah mahu memanggil bekas Dr Zambry serta Aminudin untuk memberikan penjelasan pada sesi pendengaran awam berkaitan akaun MBInc.

"Saya masih berpegang kepada keputusan mesyuarat pertama PAC pada 5 Oktober, iaitu sebuah firma audit bebas hendaklah dilantik terlebih dahulu sebelum sebarang langkah lanjut diambil, termasuk jika perlu memanggil Dr. Zambry dan Aminudin untuk memberikan penjelasan di hadapan Jawatankuasa PAC,” katanya.

"Sebuah firma audit bebas hendaklah dilantik terlebih dahulu sebelum sebarang langkah lanjut diambil, termasuk jika perlu memanggil Dr. Zambry dan Aminudin untuk memberikan penjelasan di hadapan Jawatankuasa PAC.

Sementara itu, Mohd Khusairi berkata, keputusan untuk mengadakan sesi pendengaran awam itu boleh memberikan kesan negatif terhadap kredibiliti PAC kerana ia bukanlah dicapai sebulat suara dalam jawatankuasa PAC.

Malah katanya, dua lagi anggota PAC iaitu Adun Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dan Razman Zakaria (Gunung Semanggol) juga telah menyatakan bantahan terhadap cadangan berkenaan atas alasan yang sama.

"Bagi menjaga reputasi dan kredibiliti saya selaku Adun yang dipilih oleh pengundi di kawasan saya, saya tidak akan hadir pada sessi pendengaran awam ini yang jelas tidak diperuntukkan di dalam Tatacara Dewan Undangan Negeri Perak, dan tidak pernah diadakan di mana-mana negeri atau di Parlimen di Malaysia, atau pun mana-mana negara Komanwel sebelum ini.

"Saya juga membuat keputusan untuk tidak hadir sesi pendengaran awam itu kerana mahu mengelakkan diri daripada disabitkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sekiranya Pengerusi PAC atau mana-mana anggotanya membocorkan sebarang dokumen kerajaan kepada pihak awam semasa sesi berkenaan,” katanya.