Mohamad Lutfi, Hanis Nadiah dalam kelas tersendiri

Iklan
Mohamad Lutfi dan Hanis Nadiah bersama replika cek bernilai RM3,000 berserta piala masing-masing ketika menghadiri Majlis Anugerah Sukan UPM Ke-36 di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini. - Foto Bernama

KEJAYAAN dinobatkan sebagai penerima Anugerah Olahragawan Universiti Putra Malaysia (UPM) 2019 menjadi hadiah persaraan paling bermakna untuk bekas penembak kebangsaan, Mohamad Lutfi Othman.

Atlet berusia 26 tahun itu yang kini bertugas sebagai pegawai perhubungan sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), menjelaskan beliau tidak menyangka dapat memenangi anugerah berkenaan kerana menyifatkan saingan sengit untuk kategori berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya terkejut, namun bersyukur kerana ini satu penghargaan amat bermakna daripada UPM kepada saya.

"Saingan agak sengit kerana terdapat beberapa calon lain seperti dua pemain hoki kebangsaan, Syed Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan turut mempamerkan aksi terbaik pada tahun lepas,” katanya pada Majlis Anugerah Sukan ke-36 UPM di sini hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Mohamad Lutfi yang mengambil keputusan bersara daripada skuad kebangsaan pada bulan lepas, tidak berhasrat untuk kembali membidik dalam tempoh terdekat kerana ingin fokus dengan tugasannya di MSN.

Sementara itu, penyerang skuad hoki wanita kebangsaan Hanis Nadiah Onn yang menyifatkan kejayaan memenangi anugerah Olahragawati UPM 2019 menjadi pembakar semangat untuknya meneruskan kecemerlangan bersama skuad kebangsaan dalam beberapa kejohanan pada tahun depan.

Iklan

"Saya rasa gembira kerana sebelum ini saya hanya tercalon dalam senarai akhir untuk anugerah ini. Memang saingan agak sengit kerana kesemua calon merupakan atlet elit kebangsaan.

Jika diberi peluang beraksi di luar negara, mungkin saya akan pergi. Saya harap UPM dan Konfederasi Hoki Malaysia dapat memberi sokongan sekiranya saya diberi peluang beraksi bersama kelab di luar negara,” kata atlet berusia 24 tahun itu yang sebelum ini pernah beraksi dengan kelab Jerman, Zehlendorfer Wespen.

Kedua-dua atlet berkenaan yang merupakan penuntut jurusan Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, menerima blazer UPM, wang tunai RM3,500, piala pusingan, piala iringan, jam tangan serta baucar barangan sukan tajaan Zecon Sport & Fitness yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Antara pencapaian terbaik dilakar Mohamad Lutfi sepanjang tahun lepas adalah meraih dua pingat emas serta satu gangsa pada edisi ke-43 Kejohanan Menembak Asia Tenggara di Jakarta, Indonesia, manakala Hanis Nadiah pula membantu skuad hoki wanita negara menduduki tangga ketiga pada Kejohanan Siri Final Wanita FIH di Ireland.

Senarai penuh pemenang

Olahragawan: Mohamad Lutfi Othman (menembak)

Olahragawati: Hanis Nadiah Onn (hoki wanita)

Bintang Harapan Lelaki: Rozaimi Razali (taekwondo)

Bintang Harapan Wanita: An Najwa Azizan (bola jaring)

Pengurus Terbaik: Ruziana R Mahmud (Pengurus bola tampar lelaki dan wanita)

Jurulatih Terbaik: Khairizal Ali Amat (Pengurus ragbi Serdang Angels)

Pasukan Lelaki Terbaik: Bola Tampar dan Ragbi

Pasukan Wanita Terbaik: Hoki dan Ragbi

Kelab Sukan Aktif: Besbol dan Skuasy