PUTRAJAYA - Susulan pendedahan mengenai aktiviti perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh, seorang lagi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi.
Dia ditahan selepas dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, jam 9.30 malam tadi.
Lelaki berusia 38 tahun yang memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa MBSA itu dipercayai terlibat dalam aktiviti suapan di kawasan berkenaan.
Justeru SPRM memohon perintah tahanan reman terhadap lelaki tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Majistret, Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan SPRM dengan mengeluarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Terdahulu lelaki itu yang memakai baju lokap SPRM dan bergari tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.40 pagi.
Semalam, empat penguat kuasa MBSA dan seorang penjual rokok seludup berbangsa Aceh direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai mengutip dan menerima suapan RM300 hingga RM3,500 sebulan daripada beberapa peniaga tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat penguat kuasa MBSA, penjual rokok seludup direman
Wang suapan itu dikatakan untuk melindungi premis haram daripada diambil tindakan.
Selain berperanan melindungi premis tertentu, ada di antara mereka didakwa berperanan sebagai pengkhianat dengan membocorkan maklumat berhubung operasi-operasi yang akan dilaksanakan.
Ia menyebabkan setiap operasi yang dijalankan gagal dan diketahui awal oleh peniaga-peniaga haram.