PARIT - Misteri apabila 20 ekor lembu ditemukan mati bergelimpangan dalam keadaan mulut berbuih dan keluar darah melalui hidung dalam sebuah kebun kelapa sawit di Sungai Tareh, Lambor Kanan di sini, semalam.
Kejadian itu disedari sendiri oleh penternak lembu yang berusia 42 tahun, sekitar jam 2 petang selepas mendapat aduan daripada seorang rakan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan setakat ini masih belum menemui punca sebenar kematian haiwan terbabit.
"Siasatan lanjut bersama Jabatan Veterinar masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian sama ada disebabkan perbuatan khianat, penyakit atau sebab-sebab lain," katanya.
Menurutnya, lokasi kejadian tidak berpagar dan merupakan kebun milik persendirian seluas 1.6 hektar yang baharu sahaja ditanam dengan anak pokok kelapa sawit pada April lepas.
"Pengadu menternak 200 ekor lembu yang dilepas secara bebas dan pemeriksaan dijalankan didapati daripada 20 lembu yang mati itu, 19 adalah kepunyaannya manakala seekor lagi belum dapat dipastikan pemiliknya," katanya.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, penternak mengalami kerugian hampir RM55,000.
Katanya, siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membunuh atau mencacatkan seseekor haiwan.