KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.
Pelantikannya bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Datuk Mazlan Mansor yang bersara wajib esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pada masa ini pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai jawatan Timbalan Ketua Polis Negara sebelum mengumumkannya.
Abdul Hamid sebak dan tidak dapat menahan diri daripada mengalirkan air mata ketika berucap mengumumkan persaraan Mazlan yang juga rakan baiknya.
"Beliau (Mazlan) ibarat tulang belakang dan antara yang penting dalam pasukan PDRM," katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab PDRM di sini hari ini.
Abdul Hamid juga bersyukur kerana dapat bergandingan dengan Mazlan ketika beliau diberi mandat menerajui PDRM.
"Saya bersyukur dapat seorang timbalan yang bukan hanya rakan sepasukan tetapi juga mendapat kepercayaan daripada seorang rakan seperjuangan," katanya.
Beliau berkata, berat hatinya untuk melepaskan Mazlan pergi kerana sepanjang tempoh lebih setahun mereka bersama dalam memperkasakan jentera dan mengembalikan kegemilangan PDRM agar kekal relevan serta dihormati.
"Dalam tempoh itu jua, segala suka duka, pahit manis serta jerih dikongsi bersama demi memastikan bahtera pelayaran pasukan yang dikemudi tidak tersasar dari haluan," katanya.
Sementara itu, Mazlan dalam ucapannya memaklumkan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara adalah penghormatan terbesar dalam kariernya dan dapat bergandingan dengan rakan baiknya.
"Abdul Hamid merupakan rakan sepasukan, pegawai dan pemimpin yang sangat hebat, anggota dan pegawai PDRM perlu sentiasa memberi sokongan terhadapnya," katanya.