BINTANG Paris Saint Germain (PSG), Neymar menyifatkan pasukannya tidak pernah terfikir akan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara selepas melakukan kebangkitan dramatik pada aksi suku akhir menewaskan Atalanta 2-1 di Lisbon awal pagi tadi.
Menurutnya, walaupun ketinggalan sehingga penghujung babak perlawanan, namun PSG tetap berusaha untuk mencari gol sehingga membawa kepada kemenangan kelab gergasi Perancis itu dan berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir.
"Ia memang hebat tetapi tetap sangat sukar. Kami tahu Atalanta adalah sebuah pasukan yang kuat dan bermain baik sepanjang musim selain mereka juga antara pasukan yang memberikan kejutan dalam kejohanan ini.
"Mereka sangat agresif dan sentiasa mencari peluang. Tetapi, kami tidak pernah terfikir akan kalah dan pulang awal. Tiada siapa nak ia berlaku dan saya mahu ke final. Kami hanya selangkah lagi untuk ke final dan setakat ini kami gembira dengan kejayaan ini," katanya.
Dalam perlawanan itu, pemain tengah Atalanta, Mario Pasalic meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-28 dan PSG perlu menunggu sehingga penghujung babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Marquinhos sebelum Eric Maxim Choupo-Moting muncul wira buat pasukan kendalian Thomas Tuchel itu.
Dalam pada itu, pemain tengah PSG, Ander Herrera memuji peranan yang dimainkan peledak gol kemenangan PSG, Choupo-Moting untuk pasukan itu menamatkan badi layak ke saingan separuh akhir.
"Sangat menakjubkan. Ia peranan semua orang dalam pasukan. Choupo hanya bermain 10 minit dan kita nampak apa yang dibawa dalam pasukan. Kami menang empat kejuaraan musim ini dan kami layak untuk melangkah jauh dalam saingan Liga Juara-Juara.
"Atalanta tidak pernah kalah kepada pasukan besar di Itali, tetapi saya rasa kami bermain baik hari ini. Kami mencipta peluang dan membuat segalanya untuk menang. Sekarang kami perlu memikirkan lawan kami untuk perlawanan seterusnya," katanya.