Hari Belia Negara disambut Sabtu ini

Iklan
M Noor Azman pada taklimat media sempena sambutan HBN20 di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA - Selepas ditangguhkan pada Mei lalu akibat pandemik Covid-19, sambutan Hari Belia Negara 2020 (HBN20) akan diadakan pada Sabtu ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Noor Azman Taib berkata, sambutan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan
Iklan

"KBS telah memilih tema 'Dekad Ini Dekad Anda' yang dilihat bersesuaian dengan peranan dan tanggungjawab belia dalam mencorak negara sehaluan dengan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya pada taklimat media sempena sambutan HBN20 di sini hari ini.

Menurutnya, HBN20 berbeza dengan tahun sebelum ini kerana pengisiannya terdiri daripada program fizikal dan secara maya.

Iklan

"Ia dipecahkan kepada lima kluster iaitu kepimpinan, ekonomi, sukan dan kecerdasan, sosial dan pertandingan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 17 aktiviti yang telah dan akan dianjurkan secara maya termasuklah HBN20 e-Sport Challenge dan Suara Lit yang merupakan perkongsian belia berjaya.

Iklan

"Sejurus selesai sambutan HBN20, ia akan disusuli dengan sambutan di peringkat negeri," katanya.

Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang diimplementasikan pada sambutan itu, Noor Azman berkata, KBS amat menitikberatkan perkara itu.

"Kapasiti Persada adalah seramai 3,000 orang tetapi untuk memastikan keselamatan semua, hanya 500 tetamu yang terdiri daripada belia dari seluruh negara selain pemimpin negara dan negeri yang akan diundang," katanya.

Menurutnya, pada sambutan tersebut, KBS memperkenalkan Anugerah Wira Belia Covid-19 buat julung kalinya.

"Kita tahu sekarang negara sedang menghadapi wabak ini namun ada di antara belia yang sanggup berkorban menggembleng tenaga membantu orang lain yang menghadapi kesukaran ketika negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu," katanya.

Menurutnya, KBS menerima sebanyak 300 pencalonan yang dihantar oleh badan bukan kerajaan (NGO), individu dan persatuan bagi anugerah tersebut.

"Kita telah memilih enam belia untuk diangkat sebagai unsung heroes walaupun sebenarnya ramai lagi di luar sana yang melakukan perkara serupa," katanya.