KLANG - Lapan buah premis diarahkan untuk menghentikan operasi serta-merta selepas dikesan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah menerusi operasi Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Lot 196 Jalan Haji Sirat semalam.
Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti dalam operasi itu adalah melibatkan pemasangan tingkap dan pintu besi, membuat kerja-kerja kejuruteraan, gudang dan kilang pembungkusan tanpa mendapat permit daripada MPK.
Iklan
Iklan
Norfiza berkata, sebanyak lapan notis pemberhentian aktiviti tanpa lesen dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 3 (UUK3) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (PTPP) MPK kepada pihak terlibat.
"Terdapat juga beberapa premis terlibat kini dalam proses pendakwaan di mahkamah oleh Jabatan Perancang Bandar MPK," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, operasi berkenaan turut disertai oleh beberapa jabatan MPK antaranya Jabatan Komunikasi Korporat, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Bangunan dan Jabatan Perancang Bandar.
Dalam pada itu, Norfiza berkata, MPK turut mengingatkan semua pemilik premis haram agar dapat mematuhi undang-undang berikutan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang masih berdegil dengan arahan dikeluarkan sebelum ini.
"Operasi sebegini akan diperhebatkan lagi dari masa ke masa melalui pemantau berterusan jabatan-jabatan berkaitan," katanya.