MELAKA - Sebuah kawasan berdekatan pasar raya yang ditutup dengan pintu zink di Jalan Cempaka, Pengkalan Rama Pantai, di sini, membongkar kehidupan seorang warga emas yang tinggal bersendirian di situ sejak 11 tahun lalu.
Biarpun mampu menyara kehidupan sendiri termasuk mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan makanan Majlis Agama Islam (MAIM), namun kehidupannya dalam persekitaran yang agak kotor ditambah dengan barangan lusuh di merata tempat bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan malah risiko ancaman haiwan berbisa.
Zainab Puteh, 72, berkata, dia mengambil keputusan tinggal di tanah pusaka itu kerana tidak mahu kehidupannya diganggu orang luar dan lebih selesa mendiami bangsal usang untuk berlindung dari hujan dan panas.
Dia yang pernah berkahwin dan tidak memiliki anak berkata, dia tinggal di bangsal itu kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa dan berasa bahagia hidup bersendirian tanpa diganggu sesiapa.
Katanya, bangsal tersebut umpama 'syurga' buatnya dan yakin ALLAH SWT sentiasa melindunginya dari sebarang bahaya selain mengakui belum ada kejadian yang tidak diingini berlaku sejak mendiami kawasan itu.
"Sampai mati pun makcik nak tinggal di sini, ini tanah pusaka tak boleh senang-senang nak gadai walaupun pernah ada pihak nak beli tanah ini dengan harga RM3 juta.
"Biarlah mak cik rasa hidup seperti orang susah sebegini, mak cik pun tak ganggu orang lain dan memang saudara mara ajak tinggal bersama tapi mak cik tak mahu," katanya.
Menurut Zainab, dia lebih gemar menghabiskan sisa hidupnya dengan memberi makanan kepada kucing terbiar di Melaka Sentral selain memelihara kira-kira lapan ekor kucing di bangsal tersebut.
"Sekarang ini mak cik buat apa yang mak cik bahagia, mak cik suka bercakap dengan haiwan peliharaan seperti kucing," katanya.
Terdahulu, kisah Zainab turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang menerima perkhabaran tersebut melalui teman rapatnya.
Nor Azman yang melawat tempat tinggal warga emas berkenaan mengakui Zainab tidak sepatutnya tinggal dalam persekitaran yang tidak sihat.
Menurut Nor Azman, beliau berhasrat untuk menyediakan sebuah kabin 10x10 bagi membolehkan warga emas itu tinggal dalam keadaan yang lebih selesa dan terdapat ruang solat yang lebih bersih.
"Saya sudah kenal pasti kawasan untuk meletakkan kabin di tanah ini, jadi saya harap dengan adanya kabin yang lengkap dengan tandas itu, Mak Cik Zainab dapat tempat lebih selesa untuk tidur dan solat," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan bangsal itu bukan sahaja dipenuhi bekas-bekas plastik dan barang pakai buang malah mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan selain bilik yang kurang pencahayaan dan tidak terurus.