Berselindung di sebalik kedai telefon

Iklan
Noorzainy menunjukkan CCTV yang dipasang di luar premis.

KEPALA BATAS - Taktik seorang pengusaha yang berselindung di sebalik perniagaan kedai menjual makanan dan kedai telefon untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian terbongkar selepas diserbu pihak polis dalam Ops Dadu.

Operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) bermula 1 Julai hingga 10 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sebanyak 25 serbuan dilakukan ke atas premis yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dan seramai 15 individu termasuk empat perempuan telah ditahan.

Menurutnya, selain merampas pelbagai barangan yang digunakan dalam aktiviti haram itu, pihaknya juga merampas wang tunai berjumlah RM3,816.

Iklan

"Kita dapati modus operandi yang digunakan mereka dengan menjalankan kegiatan ini di premis perniagaan menjual pakaian bundel, kedai runcit, kedai telefon untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Noorzainy (kiri) menunjukkan lubang yang ditebuk pada pintu depan premis.

"Mereka hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja yang masuk selepas membuat pengecaman melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis.

Iklan

"Malah kita dapati pada bahagian pintu depan kedai akan ditebuk lubang untuk mereka berurusan termasuk menjual kad tambah nilai bagi aktiviti perjudian dalam talian dan kita percaya kegiatan ini dijalankan 24 jam untuk memudahkan pelanggan mereka," katanya.

Terdahulu, Noorzainy turut bersama dalam operasi pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang sebelum ini dikesan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di sekitar Bertam dan Tasek Gelugor.

Noorzainy melihat petugas TNB memotong bekalan elektrik pada premis yang sebelum ini dikesan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Katanya, tindakan pemotongan itu dilakukan mengikut Seksyen 21A (1) Akta Judi Terbuka 1966.

"Kesemua yang ditahan berusia 21 hingga 39 tahun sebelum ini akan didakwa di mahkamah atas penglibatan mereka dalam aktiviti perjudian haram ini.

"Polis akan terus memantau dalam memastikan tiada pihak yang berani menjalankan kegiatan perjudian dalam talian khususnya di kawasan SPU," katanya.