ALOR SETAR - Pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh yang mencetuskan Kluster Sivagangga dijatuhkan hukuman denda RM12,000 dan penjara lima bulan selepas didapati bersalah ingkar arahan kuarantin pada 14 Julai lalu.
Tertuduh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, yang sedang dirawat di Hospital Lama Alor Setar di sini membuat pengakuan bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meninggalkan premis ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian dengan berada di premis Public Bank Cawangan Jitra lebih kurang jam 3 pada 14 Julai lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta sama.
ARTIKEL BERKAITAN: Kluster Sivagangga: 4 mukim terjejas, 5 sekolah ditutup
Covid-19: Kluster Sivagangga merebak ke tiga negeri
Dalam pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan sama di premis Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu lebih kurang jam 3.35 petang pada tarikh sama.
Berdasarkan pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan tidak mematuhi arahan pengawasan dan pemerhatian itu lebih kurang jam 3.58 petang pada hari sama di premis Agro Bank Cawangan Jitra.
Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan berada di premis Bank Rakyat Cawangan Jitra lebih kurang jam 4.40 petang pada tarikh sama.
Timbalan Pendakwaraya negeri, Zabidah Ahmad memohon hukuman maksima diperuntukkan di bawah seksyen ini dan penjara sebagai 'deterrence' kepada tertuduh dan memberi pengajaran kepada orang awam agar tidak melanggar perintah dikeluarkan kerajaan.
Beliau membuat permohonan itu memandangkan tertuduh Kluster Sivagangga menyebabkan kesihatan awam terjejas melibatkan 45 kes jangkitan dan ekonomi negara terjejas melibatkan kerugian RM1 juta di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kubang Pasu.
Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun menetapkan hukuman denda sebanyak RM12,000 untuk semua pertuduhan dan penjara selama lima bulan bermula hari ini.