LOS ANGELES - Kebakaran di Hutan Negara Angeles yang bermula pada Rabu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa memindahkan penduduk di lebih 500 kediaman yang berdekatan dengan lokasi kejadian, lapor agensi berita Xinhua.
Kebakaran dilaporkan pada 3.40 petang waktu tempatan dan merebak daripada 20.23 hektar sehingga 4046.85 hektar dalam masa kira-kira tiga jam, menurut InciWeb.
Iklan
Iklan
Sehingga 5.20 petang waktu tempatan, usaha memadam kebakaran masih dijalankan dan tiada tanda-tanda berkurangan menyebabkan beberapa bangunan terancam.
CBS melaporkan kepulan asap yang besar dapat dilihat dari lapangan terbang antarabangsa Los Angeles yang terletak kira-kira 100 kilometer ke selatan.
Jabatan Bomba Los Angeles berkata, 10 pasukan dikerahkan ke tempat kejadian.
Sementara itu, beberapa pegawai bomba, termasuk kru Hutan Negara Angeles, bekerjasama dengan Jabatan Syerif Daerah Los Angeles untuk memindahkan penduduk.
Punca kejadian belum dapat dipastikan, tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan setakat ini. - Bernama