PSG tidak akan jual Neymar, Mbappe

Iklan
Neymar (kiri) dan Mbappe enjin PSG sejak beberapa musim kebelakangan ini.

GERGASI Perancis, Paris-Saint Germain (PSG) sekali lagi melaungkan amaran tidak akan menjual dua bintangnya, Neymar atau Kylian Mbappe selepas menyingkirkan kelab Itali, Atalanta pada suku akhir Liga Juara-Juara di Estadio de Luz, Lisbon awal pagi tadi.

Menurut presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi:"Semua tahu bahawa Neymar dan Kylian adalah antara pemain terbaik dunia.

Iklan
Iklan

"Neymar contohnya bukan sahaja adalah pemain terbaik tetapi juga memiliki kualiti permainan yang hebat.

"Selama bersama PSG, Neymar telah memberikan impak positif kepada kelab. Saya dapat merasakan sesuatu yang istimewa itu," kata Nasser Al-Khelaifi.

Iklan

Ketika ditanya sama ada kedua-dua penyerang akan kekal bersama gergasi Ligue 1 itu, Nasser Al-Khelaifi berkata:"Ya, kami tentu sahaja mahu mereka melanjutkan perkhidmatan bersama PSG, ya tentu saja.

"Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa PSG tidak akan menjual Neymar atau Mbappe, pada masa sama saya yakin mereka akan kekal di Paris."

Iklan

Pada aksi di Lisbon itu, Mario Pasalic terlebih dulu meletakkan Atalanta di depan hasil jaringan pada minit ke-26 untuk mendahului babak pertama 1-0.

Aksi babak kedua menyaksikan Neymar dan Mbappe memainkan peranan menjadi duri dalam daging dalam memacu kebangkitan Les Parisiens mengatasi La Dea.

Neymar sebelum itu mengharungi rentak perlawanan dengan momentum suram berjaya memberikan bantuan gol untuk Marquinhos bagi gol minit ke-90.

Gol penyamaan itu nyata membangkitkan inspirasi kepada Mbappe yang masih terpalit kecederaan untuk bantuan kepada Eric Maxim Choupo-Moting bagi gol kemenangan tiga minit di masa tambahan.

Kemenangan anak buah Thomas Tuchel ke atas skuad kendalian Gian Piero Gasperini membolehkan kelab bandaraya Paris itu mara untuk bertemu pemenang antara RB Leipzig dan Atletico Madrid.

Mbappe yang bernilai sekitar 200 juta pound dikaitkan Liverpool dan Real Madrid sebelum industri bola sepak dibadai Covid-19 sekali gus menjejaskan kewangan kelab gergasi.

Neymar juga pernah dikaitkan dengan Real Madrid pada masa lalu, dan menjadi subjek spekulasi berterusan berkemungkinan kembali ke Barcelona, ​​setelah PSG membayar Catalans 200 juta pound untuk perkhidmatannya pada 2017.

Kedua-dua pemain dikontrak PSG hingga 2022, dan Nasser Al-Khelaifi mengatakan tonggaknya menerima ganjaran cukup lumayan untuk mereka kekal komited bersama juara Ligue 1 itu.