Tiga beradik mengaku jual minyak cap kapak tiruan

Iklan
Fang Chin, 27, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan kerana menjual minyak cap kapak tiruan.

MELAKA TENGAH - Tiga beradik didenda RM11,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menjual lebih 350 botol minyak angin cap kapak tiruan.

Hakim, Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas Teo Fang Chin, 27, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Dalam mahkamah berasingan, Teo Fang Hao, 25, dan adiknya Teo Wei Chiang, 23, turut membuat pengakuan sama di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didapati telah mendedahkan bagi jualan keseluruhan 362 botol minyak tiruan pelbagai saiz yang suatu cap dagang berdaftar iaitu cap kapak dipakaikan.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara jam 12.28 sehingga 12.47 tengah hari di tiga buah kedai ubat di lokasi berasingan dalam daerah Melaka Tengah pada 11 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) akta yang sama.

Iklan

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10, 000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Fang Chin, 27, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan kerana menjual minyak cap kapak tiruan.

Difahamkan, kesemua barang tiruan itu dianggarkan bernilai RM2,123.90.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Chiew King dan Pegawai Pendakwa Sallim Wahid memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan memohon barang bukti dikembalikan untuk dilupuskan.

Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah yang mewakili ketiga-tiga beradik itu merayu hukuman berbentuk denda yang rendah diberikan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama mereka dan tertuduh perlu menyara ibu serta bapa selain seorang bapa saudara orang kurang upaya (OKU).

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, Elesabet menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar terhadap Feng Chin.

Norma kemudian menetapkan denda RM7,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar terhadap Fang Hao manakala adiknya dikenakan RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

Kesemua barang bukti turut dikembalikan kepada pihak pendakwa untuk dilupuskan.