Pembangkang gesa turunkan denda tak pakai pelitup muka

Iklan
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR - Barisan ahli Parlimen pembangkang merayu kerajaan supaya mempertimbangkan rayuan menurunkan kadar denda dikenakan ke atas individu yang tidak memakai pelitup muka daripada RM1,000 kepada RM250.

Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkata, kempen merayu kerajaan menurunkan kadar denda dikenakan terhadap individu tidak memakai pelitup muka itu sudah digerakkan ramai ahli Parlimen pembangkang yang diketuai Dr Kelvin Yii (DAP-Bandar Kuching).

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua ahli Parlimen pembangkang akur denda dikenakan kepada mereka yang gagal memakai pelitup muka di tempat awam dan keramaian adalah demi memastikan undang-undang dikuatkuasakan.

"Bagaimanapun, kami berpandangan kadar denda RM1,000 yang dikenakan sangat tinggi berbanding denda merokok di tempat awam yang hanya berjumlah RM250.

Iklan

"Dalam Parlimen, ada menteri yang kena bayar kompaun kerana merokok (hisap vape) dalam Dewan (rakyat).

"Saya faham mengapa kena denda, pastikan undang-undang dikuat kuasa... tetapi kerajaan kena bertimbang rasa sedikit, kena ada hati (budi). Saya rasa cadangan ini (menurunkan kadar denda) perlu disokong oleh semua ahli Parlimen demi kepentingan rakyat," katanya sewaktu berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Iklan

Bermula 1 Ogos lalu, masyarakat telah mula memakai pelitup muka khususnya ketika berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak berikutan langkah kerajaan mewajibkan pemakaiannya untuk membendung wabak koronavirus (Covid-19).

Hal itu susulan pelaksanaan peraturan terbaharu kerajaan di mana kegagalan orang ramai mematuhinya akan menyebabkan mereka perlu membayar denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pelaksanaan peraturan baharu itu bagaimanapun menimbulkan tanda tanya dan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Hal ini disebabkan tular kisah seorang pelajar yang dikenakan denda RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka dengan betul sebelum ini namun pada masa sama terdapat beberapa wakil rakyat dan menteri dilihat bebas menghadiri program keramaian tanpa menggunakan pelitup muka.

Bahkan beberapa ahli Parlimen pembangkang sebelum ini mengecam situasi itu dan menyifatkan kerajaan bersifat berat sebelah dengan hanya menguatkuasakan peraturan terhadap rakyat semata-mata.