Kenyataan Ketua Audit Negara dibuat atas arahan Kabinet

Iklan
Najib Tun Razak
SHAH ALAM - Firma guaman Shafee & Co yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini mendakwa pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berhubung tindakan bekas Perdana Menteri itu mengarahkan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda dengan menggugurkan nama ahli perniagaan Low Taek Jho adalah bersifat politik.

Firma guaman itu berkata, kenyataan Madinah berhubung pindaan berkenaan dibuat atas arahan Kabinet.

"Dengan pengakuannya sendiri, kenyataan media Ketua Audit Negara yang disiarkan pada pagi Ahad dibuat atas arahan Kabinet.

"Ini seperti menunjukkan terdapat pertimbangan politik dalam mengeluarkan kenyataan media itu," katanya dalam kenyataan media hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Nama Jho Low diarah gugur dari Laporan Akhir 1MDB ]

Shafee & Co juga berkata, kenyataan Ketua Audit Negara itu, yang tidak disertakan dengan dokumen lain, akan memberi gambaran terdapat percubaan untuk menutup sesuatu, yang mempengaruhi perbicaraan mahkamah kes rasuah yang berkaitan 1MDB.

"Kenyataan media Ketua Audit Negara dibaca oleh sesiapa saja tanpa dokumen atau testimoni berhubung 1MDB, memberi gambaran anak guam kami cuba menutup kesalahan yang didakwa dilakukan dalam 1MDB dan (berkaitan) Jho Low.

"Ia hanya boleh diterjemahkan sebagai percubaan untuk mempengaruhi pendapat orang awam dan prejudis terhadap anak guam kami sebelum perbicaraan yang juga boleh dianggap menghina mahkamah kerana terdapat unsur percubaan prejudis terhadap pembelaan anak guam kami," kata kenyataan itu.

Firma guaman itu berkata, sebarang kenyataan yang dibuat, terutamanya oleh Kerajaan, perlu mengambil kira hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan bebas tanpa pengaruh politik.

"Penting untuk diingatkan bahawa anak guam kami tidak dihubungi oleh pejabat Ketua Audit Negara untuk mendapatkan penjelasan sebelum mereka mengeluarkan kenyataan media itu.

"Oleh itu, anak guam kami tidak pernah diberi peluang menjawab terlebih dahulu kepada kenyataan media Ketua Audit Negara, maka, satu lagi pelanggaran keadilan yang berat terjadi di sini.

"Lebih membimbangkan adalah apabila pendedahan Madinah telah dipanjangkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan,” kata firma guaman itu.

Firma guaman Shafee & Co juga memberitahu, maklumat yang dikeluarkan daripada laporan audit 1MDB bukan perkara baru.

"Tindakan mengeluarkan maklumat berhubung kehadiran Jho Low menghadiri mesyuarat lembaga pengarah 1MDB sudah diketahui umum sebelum laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan.

"Ia sudah didedahkan di Parlimen pada 21 Disember 2015 di mana Menteri Kewangan ketika itu dengan jelas menyatakan kehadiran Jho Low di mesyuarat lembaga pengarah itu adalah sebagai mewakili Putera Turki Abdullah yang merupakan pemilik Petrosaudi Inc.

"Kehadiran Jho Low pada mesyuarat yang dikatakan itu juga sudah didedahkan dan dibincangkan dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 25 November, 2015, di mana Ketua Audit Negara ketika itu turut hadir.

"Perlu diingatkan bahawa jawapan Parlimen dan prosiding PAC dibuat lebih awal berbanding dakwaan mengarahkan mengeluarkan maklumat kehadiran Jho Low dalam mesyuarat 1MDB dalam laporan audit berkenaan," katanya.

Shafee & Co juga berkata ia merupakan prosedur biasa bagi pengaudit dan yang diaudit untuk berjumpa dan membuat perubahan pada laporan.

"Ia merupakan prosedur biasa dalam proses pengauditan apabila pengaudit dan yang diaudit berjumpa untuk membincangkan draf laporan untuk penjelasan dan membetulkan sebarang maklumat yang tidak tepat, jika ada, sebelum laporan itu dimuktamadkan," katanya kenyataan itu lagi.