Penuntut maut digilis lori

Iklan
Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa dari bawah lori selepas terbabit kemalangan petang tadi. Foto: Ihsan bomba

KUANTAN - Seorang penuntut Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) maut digilis sebuah lori selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bukit Goh berhampiran Pusat Pembiakan dan Pengeluaran Benih, Jabatan Pertanian Negeri Pahang di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.17 petang itu, mangsa, Muhammad Khairul Asri Khairil Anuar, 20, beralamat di Taman Temerloh Jaya, Temerloh meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-5, Rokman Abu Hassan, 45, dan pemandu lori, Hajman Abd Samat, 60, tidak mengalami kecederaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan pemandu Mazda CX-5 dalam perjalanan dari arah Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS) menghala Bukit Goh.

Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong Mazda CX-5 yang berada di hadapannya dan terlanggar bahagian bucu belakang kenderaan tersebut menyebabkannya terjatuh ke laluan bertentangan.

Iklan

"Pemandu lori yang berada di laluan berkenaan cuba mengelak tetapi gagal, lalu tergilis mangsa.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat," katanya.

Iklan

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.