42 blok rumah kongsi musnah terbakar

Iklan
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan dilihat sibuk melakukan kerja-kerja pemadaman api dan pemeriksaan di kawasan rumah kongsi yang musnah akibat kebakaran di Jalan Labu LBJ Taman Gadong Jaya hari ini. Foto: Bernama

SEREMBAN - Sebanyak 42 blok rumah pekerja merangkumi 840 pintu yang didiami pekerja asing di Jalan Labu LBJ, Taman Gadong Jaya, Sendayan, dekat sini musnah dalam kebakaran, kira-kira 4 petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar yang mengetuai operasi berkata bagaimanapun, kesemua 1,140 penghuni terselamat kerana berada di tempat kerja masing-masing ketika kejadian.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, empat jentera bomba, tiga dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban2, sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dengan kekuatan 30 anggota dan pegawai, dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 4.20 petang

Pekerja kontrak binaan dilihat sibuk memindahkan barangan yang sempat diselamatkan ekoran rumah kongsi yang didiami mereka musnah akibat kebakaran di Jalan Labu LBJ Taman Gadong Jaya hari ini. Foto: Bernama

"Api berjaya dikawal sejam kemudian. Keseluruhannya terdapat 49 blok di kawasan seluas anggaran 2.43 hektar, namun tujuh blok yang merangkumi 140 pintu berjaya diselamatkan. Kerja-kerja baik pulih sepenuhnya rumah kongsi berkenaan sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Iklan

Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan- Bernama

Iklan