KUALA NERUS - Demi kasihkan bapanya, seorang anak sanggup mendukung dan membawa bapanya yang lumpuh menunggang motosikal bagi memenuhi permintaan insan kesayangannya itu untuk ke kedai makan.
Mohd Farihan Ab Hamid, 29, yang kini tinggal di Kampung Gong Pak Jin di sini berkata, walaupun letih selepas pulang dari kerja dia akan menuruti permintaan bapanya untuk keluar makan dan menikmati udara segar di luar rumah.
"Ayah saya suka makan di kedai dan kebiasaannya saya akan bawa dia ke kedai setelah pulang dari kerja. Dia juga tidak suka hanya duduk di dalam rumah dan akan minta untuk dibawa keluar.
"Sekiranya permintaannya tidak dipenuhi, dia akan marah dan mengamuk. Jadi saya terpaksa menggunakan motosikal untuk membawanya ke kedai makan atau ke pasar raya yang berdekatan dengan rumah.
"Kalau ikutkan saya ada sebuah kereta tetapi saya tidak mampu untuk ‘top up’ minyak sekiranya sering keluar menggunakan kereta. Lagipun gaji saya tidak seberapa dan baru sahaja dapat kerja dalam dua bulan ini,” katanya yang bekerja kontrak bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Kisah Mohd Farihan bersama bapanya ditularkan seorang pengguna laman sosial Facebook semalam setelah bertemu Mohd Farihan membawa bapanya dengan menunggang motosikal di sebuah pasar raya.
Perkongsian itu mendapat perbagai reaksi ramai malah ada yang menyatakan pernah bertemu Mohd Farihan membawa bapanya dengan menunggang motosikal di daerah lain seperti di Marang.
Mohd Farihan yang berasal dari Jerteh, Besut berkata, sejak menjaga bapanya tujuh tahun lalu dia sering berpindah randah sehingga pernah menghuni 25 buah rumah sewa demi keselesaan bapanya yang mengalami lumpuh dan dijaga sejak tujuh tahun lalu.
Katanya, walaupun dia dan isteri, Maziana Abdul Manan, 35, sudah penat berpindah-randah, dia terpaksa lakukan kerana tidak mampu membayar sewa rumah dan permintaan bapanya yang enggan tinggal di situ.
"Sejak saya dan isteri jaga ayah, kami banyak pindah rumah. Ini adalah rumah ke-25 kami sekeluarga pindah. Sebelum ini saya pernah menetap di beberapa buah rumah sewa di Marang, Dungun dan Kuala Terengganu.
"Ada beberapa buah rumah yang saya pernah sewa tetapi tidak duduk lama kerana memikirkan tidak mampu membayar sewa sehingga mencecah RM450 sebulan. Paling lama pun saya pernah tinggal di sebuah rumah selama tiga bulan di Lorong Haji Da, Kuala Terengganu.
"Lagipun, ayah saya sering marah dan mengamuk sekiranya rumah yang dihuni tidak serasi. Mujurlah setakat ini dalam dua bulan tinggal di rumah sewa di sini (Gong Pak Jin) ayah belum pernah mengamuk lagi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.
Mohd Farihan yang memiliki seorang cahaya mata berkata, sebelum lumpuh, bapanya terlibat dalam kemalangan ketika bekerja dan keadaan bapanya semakin buruk sejak ibunya, Asnah Yusuf, 57, meninggal dunia tiga tahun lalu.
"Kepala ayah saya ditimpa kayu ketika sedang membuat rumah. Sejak itu, tahap kesihatannya semakin merosot dan doktor juga ada beritahu terdapat darah beku pada bahagian kepala ayah menyebabkan fungsi badannya terganggu.
"Keadaan kesihatan dan pergerakan ayah juga semakin terhad sejak emak pergi meninggalkan kami sekeluarga tiga tahun lalu. Emak meninggal dunia akibat komplikasi penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, masalah jantung dan buah pinggang,” katanya.