Kita ditipu dan tertipu

Iklan
Selain mudah ditipu scammers, sebenarnya kita juga mudah tertipu dengan mempercayai pelbagai berita palsu yang tersebar di media sosial. - Foto 123RF

BARU-BARU ini penulis berkesempatan mendengar perbincangan yang disiarkan di sebuah radio berkaitan isu scammers.

Ramai pendengar yang membuat panggilan dan menceritakan pengalaman mereka yang pernah dihubungi scammers dengan menggunakan pelbagai taktik.

Iklan
Iklan

Ada yang menghubungi kononnya daripada mahkamah, ada juga yang dihubungi ‘pegawai’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ada juga yang mengakui dihubungi ‘pegawai’ polis.

Bagaimanapun, semua panggilan itu mempunyai satu tujuan iaitu mahu orang yang dihubungi itu memindahkan wang ke dalam akaun lain bagi tujuan siasatan kerana dikatakan terlibat dengan kegiatan jenayah.

Iklan

Bagi individu yang mudah percaya, pasti dengan senang akan ditipu dan mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit.

Terdetik di hati penulis kenapa begitu mudahnya kita ditipu. Perkara ini bukanlah perkara baharu namun masih tetap berlaku walaupun banyak pendedahan dilakukan di media dan sebagainya.

Iklan

Sebagai contoh satu kes di Kuantan, Pahang pada 5 Ogos lalu apabila seorang remaja lelaki berusia 14 tahun diperdaya seorang ‘gadis’ yang dikenalinya di laman Facebook sehingga sanggup menyerahkan sebanyak RM295,950 menerusi 21 transaksi pindahan wang antara 2 Mei hingga 20 Jun lalu.

Remaja itu yang diperdaya sindiket Love Scam bukan sahaja menyerahkan wang simpanannya tetapi juga wang simpanan bapanya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, perkenalan antara mangsa dan suspek bermula Februari lalu menerusi iklan jualan telefon di Facebook yang dibuat oleh seorang gadis bernama Dea Anis atau Anis Anis.

Itu kisah seorang remaja yang ditipu namun di Seremban, Negeri Sembilan, seorang doktor berusia 28 tahun pula rugi RM92,800 diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, doktor hospital kerajaan itu menerima panggilan daripada ‘pegawai LHDN’ berkenaan ketika sedang bertugas dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,000.

Mangsa diminta memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan bagi tujuan semakan dan kerana ketakutan, mangsa memindahkan wang miliknya ke akaun lain dan akhirnya menanggung kerugian.

Begitu jelas sekali sindiket itu mampu memperdayakan sesiapa sahaja bagi mengaut keuntungan daripada seorang budak belasan tahun kepada seorang profesional.

Sebenarnya dua kes itu bukanlah yang pertama atau kes terpencil penipuan. Sebelum ini, sudah berpuluh atau mungkin ratusan kes penipuan seumpamanya yang dilaporkan pelbagai media.

Yang tidak dilapor mungkin lebih banyak lagi. Jika dikumpul dan disenaraikan, mungkin jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa sudah mencecah ratusan juta ringgit.

Selain mudah ditipu, sebenarnya kita juga mudah tertipu dengan mempercayai pelbagai berita palsu yang tersebar di media sosial.

Paling banyak berita palsu yang tersebar adalah mengenai penularan pandemik Covid-19.

Pelbagai cerita tersebar yang menakutkan orang ramai sehingga boleh menyebabkan berlakunya keadaan panik.

Berita palsu

Sebagai contoh yang paling diingati ialah pembelian panik yang dilakukan orang ramai kerana mesej tular mengatakan Malaysia akan melaksanakan perintah lockdown sehingga barang di pasar raya dan kedai runcit kehabisan bekalan.

Punca berlakunya keadaan itu adalah kerana wujudnya penyebar berita palsu dan yang menjadi lebih parah apabila orang ramai tanpa usul periksa mempercayai berita berkenaan.

Mengikut rekod, sebanyak 266 kertas siasatan melibatkan penyebaran berita palsu dibuka dalam tempoh penularan Covid-19 di negara ini sehingga 15 Julai lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 30 kes dibawa ke mahkamah, 13 masih dalam perbicaraan, 17 kes melibatkan suspek mengaku bersalah, 172 kes masih dalam siasatan manakala selebihnya di peringkat awal proses tindakan.

Kesimpulannya, janganlah kita mudah ditipu dan tertipu. Semak dahulu sebelum percaya. Kita mampu mengubahnya. #KITAJAGAKITA

* Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Editor Halaman Sinar Harian