PUTRAJAYA - Tiga lagi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman enam hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah untuk melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Wira Abdul Halim bermula hari ini sehingga 19 Ogos depan.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 40 hingga 43 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara jam 1 hingga 2 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.
Ini menjadikan enam penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga rokok seludup berada di bawah tahanan reman SPRM.
Awal minggu ini, seorang peniaga menerusi siaran langsung di laman Facebook mendedahkan aktiviti judi dan penjualan rokok seludup berleluasa di sekitar Sungai Buloh.
Siasatan SPRM mendapati penguat kuasa dipercayai mengutip dan menerima suapan RM300 hingga RM3,500 sebulan daripada beberapa peniaga tersebut.
Wang suapan itu dikatakan untuk melindungi premis haram daripada diambil tindakan.
Selain melindungi premis tertentu, ada di antara penguat kuasa tersebut didakwa berperanan sebagai pengkhianat dengan membocorkan maklumat berhubung operasi-operasi yang akan dilaksanakan.
Hal itu menyebabkan setiap operasi yang dijalankan gagal dan telah diketahui lebih awal oleh peniaga-peniaga haram.
ARTIKEL BERKAITAN: Seorang lagi penguat kuasa MBSA diberkas SPRM