IPOH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan sebanyak 12 borang pencalonan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sudah dibeli sehingga semalam.
Pengarah SPR Perak, Mohd Nazri Ismail berkata, daripada jumlah itu hanya calon Barisan Nasional (BN) sudah membayar deposit setakat ini manakala selebihnya belum berbuat demikian.
Menurutnya, calon-calon yang akan bertanding dinasihatkan untuk membayar deposit lebih awal bagi melancarkan perjalanan Hari Penamaan Calon esok.
"Kepada calon yang ingin bertanding, kita nasihatkan juga agar mereka buat semakan awal borang penamaan calon di pejabat pegawai pengurus atau pejabat pilihan raya negeri.
"Pada Hari Penamaan Calon esok, hanya calon, penyokong dan pencadang dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon. Tiada perarakan dan perhimpunan dibenarkan di situ. Sentiasa pakai pelitup muka dan patuhi arahan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita, hari ini.
Sementara itu, mengenai persediaan SPR menjelang Hari Penamaan Calon, Mohd Nazri berkata, semua persiapan untuk esok berjalan lancar seperti dirancang dan raptai penuh akan diadakan pada petang ini.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.
Setakat ini dua calon sudah diumumkan untuk bertanding bagi kerusi DUN tersebut iaitu masing-masing daripada BN dan Bebas.
BN mengemukakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz manakala calon Bebas yang memakili parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air menamakan seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Zaidi calon BN PRK DUN Slim