'Mak cik gelang pink' dipenjara sehari, denda RM8,000

Iklan
Nur Emah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 atas kesalahan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin, awal bulan lepas.

IPOH - Wanita warga emas yang sebelum ini tular sebagai ‘mak cik gelang pink’, hari ini dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin, awal bulan lepas.

Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman terhadap Nur Emah Mohamad Hashim, 72, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan kesalahan itu di sebuah restoran, di Lengkok Meru Permai 1, Halaman Meru Permai, kira-kira jam 8 pagi, 6 Julai lepas.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan wanita yang hadir memakai jubah hitam itu menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Dia dituduh tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian di bawah Subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diarahkan Pegawai Diberi Kuasa Syarifudin Abu Bakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor, pada jam 5.30 petang, 4 Julai lepas.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Sub Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Berjangkit 1987 dan boleh dihukum di bawah Sub Seksyen 24(a) akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, Ahmad Fakurazi Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Terdahulu, Ahmad Fakurazi memohon mahkamah memberikan hukuman yang setimpal kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukannya.

Nur Emah yang merupakan ibu tunggal dalam rayuannya dengan nada sebak sambil mengalirkan air mata memohon hukuman ringan kerana itu merupakan kesalahan pertamanya selain mempunyai masalah kesihatan.

Mengikut fakta kes, pada 21 Julai lepas, JKN Perak menerima aduan mengenai tular satu gambar seorang wanita memakai gelang perintah pengawasan di rumah tidak berada di alamat yang diperintahkan dan didapati keluar makan di restoren Hanaz Cafe, di Meru Raya.

Susulan itu, siasatan telah dijalankan oleh Pegawai Diberi Kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan mendapati wanita itu merupakan orang kena perintah pengawasan dan pemerintahan mengikut Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, bermula 4 hingga 18 Julai lepas.

Tertuduh telah berada di restoran itu pada 6 Julai lepas walaupun diperintahkan menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari United Kingdom pada 4 Julai lepas bagi membendung penularan Covid-19. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita 'gelang pink' dirawat di hospital

Polis buka kertas siasatan terhadap 'mak cik gelang pink'

100 peniaga terjejas gara-gara 'mak cik gelang pink'